Sejak Pixel 2 diperkenalkan dengan aplikasi kamera Google Camera yang menyokong mod potret tanpa memerlukan sensor tambahan, pembangun bebas berjaya mengubahsuai dan membina semula aplikasi ini untuk digunakan pada pelbagai peranti Android lain.
Selepas Pixel 3, Pixel 4, Pixel 5 dan lain-lain kemas kini, hampir semua ciri dan fungsi kamera daripada peranti Pixel dapat digunakan oleh peranti lain melalui GCam. Terkini, sudah ada lebih 220 peranti boleh menggunakan aplikasi ini dengan pelbagai tetapan yang membolehkan ia dijalankan tanpa sebarang masalah.

Jika dahulu hanya peranti Snapdragon sahaja boleh menggunakan aplikasi kamera ini, kini peranti dengan Exynos juga boleh menggunakannya. Seperti biasa, syarat utama yang diperlukan adalah sokongan Camera2 API. Tetapi kini GMS juga telah diwajibkan untuk memastikan aplikasi ini beroperasi dengan baik.


Melalui laman celsoazevedo, pembangun bebas daripada Rusia BSG sudah berjaya menghasilkan ratusan variasi GCam untuk pelbagai peranti Android. Setiap APK boleh dipasang dan jika ada masalah, pengguna boleh lakukan tetapan sendiri dan turut boleh berkongsi tetapan mereka di saluran Telegram umum agar pengguna lain dapat menggunakannya.
Selain itu, BSG turut mempunyai saluran Telegram khusus untuk perkembangan kemas kini aplikasi ini dengan pelbagai bantuan untuk memastikan pengguna Android bukan Pixel dapat menikmati kehebatan kamera Google Camera.