Carian
Google Dikatakan Telah Memecat Sejumlah Pekerja Mereka Sepanjang Beberapa Tahun Kerana Penyalahgunaan Maklumat Pengguna
August 5, 2021 Nazrin

Apabila bercakap mengenai keselamatan data pengguna, ramai orang akan mengatakan bahawa syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Google, Amazon, Microsoft dan sebagainya mungkin dilihat menjaga maklumat pengguna mereka, tetapi lazimnya ia akan digunakan untuk pelbagai perkara seperti pengiklanan dan sebagainya.

Terkini, laporan daripada Motherboard memperlihatkan bahawa Google tidak membenarkan para pekerja mereka untuk mengakses data pengguna sewenang-wenangnya. Malah, apabila para pekerja mereka ditangkap menyalahgunakan akses data pengguna, Google nampaknya tidak mempunyai masalah untuk memecat para pekerja ini kerana melanggar tatasusila penggunaan maklumat pengguna.

Pada tahun 2020 sahaja, 36 pekerja telah dipecat kerana kesalahan menghantar data keluar daripada rangkaian dalaman di Google, akses data pengguna dan pekerja yang menyalahi polisi Google sendiri dan pengubahsuaian maklumat pengguna dan pekerja Google sendiri.

Pada tahun 2018 dan 2019, Google turut dilihat memecat 18 dan 26 pekerja mereka sendiri kerana kes penyalahgunaan teknologi dan hak intelek Google untuk kepentingan sendiri.

Google sudahpun mempunyai sebuah badan yang mengawal-selia akses kepada data-data pengguna dan pekerja mereka. Ini secara lazimnya ialah pita merah yang diperlukan untuk memastikan data pengguna yang digunakan tidak tertiris atau disalahgunakan. Akan tetapi terdapat juga senario dimana ahli didalam badan tersebut yang menyalahgunakan data dan teknologi terbina Google, dan apabila dia ditangkap melakukan perkara tersebut, pekerja ini turut dibuang daripada syarikat tersebut.

Sumber: Vice

Komen