Cari @ Amanz

Sejak permainan video dicipta, kanak-kanak akan menghabiskan masa yang lama memainkannya berbanding melakukan kerja sekolah sekiranya tidak dipantau. Saya sendiri ketika di sekolah rendah menghabiskan masa dengan mesin Tetris sehingga ia disorokkan oleh ibu kerana enggan melakukan ulang kaji. Tetapi di China terdapat undang-undang kebangsaan yang mewajibkan pembangun permua supaya meletakkan had pada permua yang ditawarkan pada peranti pintar.

Tencent minggu ini mengaktifkan had masa bermain pada permua popular Honor of Kings (versi China untuk Arena of Valor) untuk golongan remaja dan kanak-kanak. Pada pemain remaja, masa permainan dihadkan kepada haya 60 minit sehari berbanding 90 minit sebelum ini dengan halangan bermain antara jam 10 malam hingga 6 pagi pada waktu persekolahan. Pada waktu cuti persekolahan pula ia dihadkan ke 2 jam sehari dari 3 jam yang diberikan sebelum ini.

Kanak-kanak bawah 12 tahun pula dihalang terus dari memainkan Honor of Kings oleh Tencent. Ini adalah langkah drastik kerana sebelum ini mereka membenarkan masa permainan sejam sehari kepada golongan ini.

Langkah ini diambil oleh Tencent selepas syarikat dituduh ‘menjual candu’ kepada golongan muda di China dengan isu ketagihan Internet semakin serius di negara tersebut. Sebelum ini sebagai langkah untuk mengawal ketagihan, Tencent memperkenalkan sistem imbasan wajah untuk memantau masa permainan permua yang dibangunan mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd