Sejak menjadi jenama bebas yang berdiri sendiri, Honor dilihat aktif semula dalam pasaran telefon pintar dengan penawaran sejumlah produk baharu. Selain daripada Honor Magic 3, jenama ini juga dilihat dalam perancangan untuk sebuah lagi model baharu di bawah siri Honor X – iaitu Honor X20. Kedua-duanya akan dilancarkan pada 12 Ogos depan.

Menjelang pelancaran rasmi, spesifikasi pada telefon pintar telah mula dikongsi menerusi laporan terkini di laman 91 Mobiles. Honor X20 akan menampilkan skrin LCD bersaiz 6.67-inci dengan kepadatan piksel 391 ppi. Seterusnya, ia juga dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 900 5G dan boleh didapati dalam pilihan memori sehingg 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB.
Ia juga akan dilengkapi tri-kamera belakang dengan sensor utama 64-Megapixel, 2-Megapixel (makro) dan 2-Megapixel (kedalaman), manakala kamera swafoto pula sebesar 16-Megapixel. Bateri yang disertakan adalah 4,300mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W – di mana, ia didakwa mampu mengecas penuh dalam hanya 40 minit.

Di samping itu, terdapat juga sebuah lagi telefon pintar baharu di bawah siri Honor Play yang turut sama tertiris. Dikenali sebagai Honor Play5T Pro, ia akan dilengkapi skrin 6.6-inci LCD dengan resolusi FHD+. Ia kemudiannya dipercayai menggunakan cip MediaTek Helio G85, memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri berkapasiti 4000mAh yang menyokong pengecasan 22W.
Lain-lain spesifikasi adalah dwi-kamera belakang dengan sensor utama 64-Megapixel dan 2-Megapixel untuk tujuan kedalaman. Seterusnya, kamera hadapan pula adalah sebesar 16-Megapixel. Buat masa ini, masih tiada sebarang perkongsian informasi mengenai tarikh pelancaran untuk Honor Play 5T Pro.
Sejauh mana kebenaran untuk spesifikasi yang tertiris? Segalanya bakal terjawab kelak selepas pelancaran rasmi. Untuk makluman, acara pelancaran yang berlangsung pada minggu hadapan akan turut menampilkan kemunculan tablet baharu mereka – iaitu Honor V7 Pro.
Sumber : 91Mobiles