Carian
Saintis Mencipta Bateri Konkrit Membolehkan Bangunan Menyimpan Tenaga Sendiri
August 5, 2021 Effi Saharudin

Bangunan dengan panel solar boleh menjana bekalan elektrik secara kendiri. Lebihan tenaga kemudian disimpan dalam bateri khas untuk digunakan di kemudian hari. Tetapi pek bateri seperti yang ditawarkan Tesla dan Daimler memerlukan ruangnya yang tersendiri. Doctor Emma Zhang dan Professor Luping Tang’, dua orang penyelidik dari Chalmers University of Technology di Sweden telah membangunkan prototaip bateri dari konkrit sekaligus membolehkan bangunan menjadi bateri.

Gentian karbon dengan saduran besi dan nikel diletakkan dalam campuran simen semasa bangunan dibina. Dua lapisan ini akan menjadi anod dan katod kepada bateri konkrit yang boleh dicas semula. Dalam kajian yang dilakukan, bateri ini mempunyai kepadatan menyimpan 7 Wh tenaga untuk setiap meter persegi atau 0.8 Wh/L.

Kepadatan menyimpan tenaga bateri simen mereka ini adalah rendah jika dibandingkan Li-Ion yang boleh mencecah 670 Wh/L. Teknologi ini masih lagi di tahap prototaip dan memerlukan lebih banyak kajian untuk membolehkan ia menjadi alternatif kepada bateri sedia ada. Sebelum ini penyelidik di Washington University di St. Louis telah membangunkan batu-bata yang turut boleh menjadi bateri dengan lapisan PEDOT:PSS.

Komen