Fon telinga dengan pad sesentuh adalah ciri biasa sekarang terutamanya dari pengeluar terkemuka seperti Samsung, Apple dan Jabra. Namun begitu dari pengalaman peribadi, kadang kala pad sesentuh tidak mengesan sentuhan dengan betul. Muzik ingin dijeda tetapi arahan dilangkau pula dikesan. Kerap kali juga tangan tidak boleh untuk menyentuh pad kerana sedang melakukan kerja lain. Bagi pengguna Klipsch T5 II True Wireless ini bukan masalah.

T5 II True Wireless ialah fon telinga ANC terkini mereka dengan sistem operasi dari Bragi. Pengguna boleh menjawab telefon dengan mengangguk sebanyak tiga kali. Menolak panggilan pula dengan menggeleng tiga kali. Muzik juga boleh dilangkau dengan pergerakan kepala yang sama.
Fon telinga dilengkapi pemandu audio sebesar 5.8mm dengan sistem audio Dirac HD Sound yang menurut Klipsch memberikan pengalaman audio yang baik. Dengan ANC diaktifkan putik audio boleh beroperasi sehingga 5 jam dan pad pengecas menambah lagi 15 jam. Tanpa ANC pula hayat bateri bertambah ke 7 jam.

Pengecasan boleh dilakukan dengan kabel USB-C atau sistem pengecasan nirwayar Qi. Akhir sekali fon telinga ini melepasi piawaian IPX4 membolehkan ia digunakan untuk aktiviti sukan. Sepasang Klipsch T5 II True Wireless dijual pada harga $299 (~RM1260).