Xiaomi telah menjadualkan sebuah acara pelancaran pada 10 Ogos depan. Melaluinya, mereka mengesahkan bahawa Xiaomi Mi MIX 4 akan diumumkan secara rasmi. Katanya, model tersebut akan dihasilkan oleh pasukan asal yang terlibat dalam penghasilan model Mi Mix generasi pertama. Konsep ideanya juga akan mementingkan aspek sains dan teknologi, di samping rekaan diluar kotak yang pastinya mengujakan ramai.

Ia bagaimanapun, tidak terhad di situ sahaja. Sebaliknya, tablet baharu keluaran Xiaomi iaitu Xiaomi Mi Pad 5 turut akan membuat kemunculan rasminya pada acara berkenaan. Setakat ini, Xiaomi tidak mendedahkan banyak informasi tentang tablet berkenaan. Namun, poster promosi rasmi yang dimuat naik sedikit sebanyak memberi bayangan mengenai produk.
Ia menunjukkan Xiaomi Mi Pad 5 kelak akan didatangkan dengan sokongan stylus. Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada ia disertakan secara terbina atau sebaliknya iaitu perlu dibeli secara berasingan. Dalam pada itu, Xiaomi Mi Pad 5 juga dilihat akan mempunyai bingkai tepi rata bersama garis antena yang kelihatan agak nyata pada salah satu sisi tablet. Bingkainya pula dipercayai menggunakan bahan berasaskan logam.

Xiaomi Mi Pad 5 dipercayai hadir dengan dua pilihan cip pemproses berbeza – iaitu cip Snapdragon 860 dan cip Snapdragon 870. Menurut sumber, model yang dikuasakan oleh cip Snapdragon 870 akan diperkenalkan lebih awal berbanding versi Snapdragon 860. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya kelak.
Sumber : Xiaomi Weibo