Cari @ Amanz

Tablet Tamadun Babylon Menunjukkan Teorem Pythagoras Wujud 1000 Tahun Lebih Awal Dari Disangka

Link Copied!

Teorem Pythagoras adalah antara teori matematik paling awal dipelajari di sekolah. Menerusinya panjang setiap sisi segi tiga dengan sudut tepat 90 darjah dapat dikira. Hukum matematik ini dipercayai dicipta oleh Pythagorean pada abad kedua sebelum Masihi ketika zaman Yunani purba. Tetapi kini  Dr Daniel Mansfield, seorang ahli matematik dari University of New South Wales menemui bukti teorem Pythagoras telah digunakan lebih 1000 tahun lebih awal ketika tamadun Babylon.

Sebuah tablet tanah liat yang diberi nama  Si.427 telah ditemukan di Iraq pada tahun 1894. Pada permukaan terdapat lukisan yang menurut Dr Mansfield menunjukkan tamadun Babylon sekitar 1600-1900 sebelum masehi sudah menggunakan prinsip geometri yang kini dikenali sebagai teorem Pythagoras.

Tablet menunjukkan perkiraan saiz kawasan tanah selepas sebahagiannya dijual. Pemilik tanah ingin mengetahui saiz tanah yang dimiliki selepas jualan dilakukan. Lakaran menunjukkan juruukur yang ditugaskan untuk melakukan tinjauan mempunyai pemahaman geometri Pythagoras yang lebih kompleks dari yang diketahui sebelum ini.

Mereka menggunakan konsep asas segi tiga 3,4,5 ( tinggi 3, panjang 4 dan hipotenus 5) untuk menghasilkan segi tiga dengan satu sudut tepat yang kemudiannya digunakan untuk menghasilkan segi empat dengan empat sudut tepat. Menarik juga ialah tamadun Babylon purba menggunakan teori matematik ini untuk melakukan perkiraan di atas tanah sedangkan ketika zaman Yunani purba ia digunakan oleh ahli astronomi untuk menjejak pergerakan objek di angkasa.

Berita penemuan ini menjadi semakin menarik kerana tablet ini telah ditemui lebih 100 tahun dan telah dipamerkan secara dibuka di Muzium Arkeologi Istanbul tanpa ahli arkeologi menyedari betapa pentingnya catatan yang di permukaannya. Dr Mansfield berkata penemuan beliau menulis semula pemahaman kita tentang asal usul ilmu matematik dan menimbulkan persoalan apakah lagi teknologi yang sebenarnya dicipta lebih awal dari yang diketahui setakat ini.

Sumber UNSW


Komen ()