Arena kewangan terpencar (DeFi) merupakan salah satu perkara yang semakin hangat diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, dengan peningkatan mendadak nilai kriptowang pada awal tahun 2021 ini, lebih ramai mula memberikan perhatian serius terhadapnya.
Terbaru, MyEG turut menyertai arena DeFi ini melalui penawaran mereka dinamakan MyEG Lock-Earn Wallet.

Melaluinya, MyEG mengatakan pengguna tidak lagi perlu meninggalkan kriptowang mereka pada sesuatu platform begitu sahaja, sebaliknya boleh menjana pendapatan tambahan dengan menerima yuran pinjaman terhadap kriptowang yang disimpan pengguna pada platform MyEG Lock-Earn Wallet ini.
Pengguna hanya perlu deposit akan aset digital mereka, dan menjana pendapatan berbentuk yuran pinjaman sehingga 5%. MyEG mengatakan deposit minimum yang dibenarkan adalah 0.01BTC atau 1ETH. Buat masa ini, pihak MyEG sekadar membuka pendaftaran minat sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperkenalkan sepenuhnya, dan bagaimanakah ia akan beroperasi.
Menurut pihak MyEG juga, ini adalah produk pertama DeFi mereka, dan dijana hadir dengan sejumlah penawaran lain tidak lama lagi – sekaligus mempromosikan aset digital dan juga menyokong DAX tempatan.
Bagi pengguna beragama Islam, anda diminta menyemak terlebih dahulu berkaitan penawaran dan bentuk penjanaan pendapatan sebelum melakukan sesuatu pelaburan.