IQOO telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu pada 17 Ogos depan. Melaluinya, IQOO akan mengumumkan penawaran telefon pintar baru mereka – iaitu siri IQOO 8. Beberapa informasi mengenainya telah tertiris – di mana ia dikhabarkan hadir dalam dua variasi model yang berbeza.

Terkini, giliran reka bentuk fizikalnya pula diperlihatkan sepenuhnya menerusi poster promosi rasmi. Jelas kelihatan, ia masih membawakan ciri kemasan yang sama seperti generasi sebelumnya – iaitu kemasan bewarna hitam dengan gentian karbon. Seterusnya, kemasan edisi khas dengan warna putih dan jalur berwarna merah hitam serta biru.
Bercakap mengenai reka bentuk fizikal pula, pengganti iQOO 7 ini akan dilengkapi panel hadapan melengkung lengkap dengan rekaan berlubang untuk peletakan kamera swafoto tunggal. Seterusnya, ia juga akan menggunakan modul kamera belakang dengan susunan lensa berbentuk huruf L. Bagaimanapun, butiran khusus mengenai kameranya masih kekal menjadi tanda tanya buat masa ini.

Dalam pada itu, poster turut mengesahkan beberapa spesifikasi utama pada peranti. Di mana, telefon pintar berkenaan bakal dilengkapi cip Snapdragon 888+, skrin yang menyokong resolusi 2K dan pengecasan pantas 120W.
Sumber : Sparrow News