Honor X20 akan diumumkan secara rasmi pada 12 Ogos ini dalam sebuah acara pelancaran yang dijadualkan berlangsung di China. Namun begitu, spesifikasi penuhnya telah disenaraikan terlebih dahulu menerusi laman web rasmi Honor China. Sekaligus, ia mengesahkan kesemua butiran penting pada telefon pintar. Cuma persoalannya di sini adalah harga jualan untuk telefon pintar yang masih belum diumumkan lagi.

Penyenaraian menunjukkan Honor X20 mempunyai skrin bersaiz 6.67-inci TFT LCD(IPS dengan resolusi FHD+ (2400 x 1080 piksel) dan kadar segar semula 120Hz. Ia seterusnya dipadankan juga dengan cip MediaTek Dimensity 900, memori sehingga 8GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB dan bateri berkapasiti 4300mAh yang menyokong pengecasan 66W.
Kamera di belakang menggunakan tetapan 64-Megapixel (utama) + 2-Megapixel (kedalaman) + 2-Megapixel (makro). Kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel (f/2.4). Lain-lain spesifikasi termasuklah – bluetooth 5.1, bicu audio 3.5mm, port sambungan USB Type-C, menjalankan Magic UI 4.2 berasaskan Android 11 dan lain-lain.

Selain daripada Honor X20, kita juga bakal melihat kemunculan beberapa lagi penawaran produk baharu daripada jenama ini pada acara pelancaran tersebut. Antaranya seperti siri Honor Magic 3 dan juga Honor V7 Pro yang merupakan tablet terkini daripada Honor. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak.
Sumber : HONOR CHINA