Penggunaan peranti sejak dari kecil menjadi norma baharu lebih-lebih lagi dalam dunia pandemik. Terdapat pelbagai pendapat pro dan kontra mengenai kebenaran menggunakan peranti pada usia muda.Satu isu yang tidak dapat disangkal lagi ialah tentang penggunaan data pengguna, bahaya atas talian dan pengiklanan kepada pengguna bawah umur.

Google hari ini memperkenalkan beberapa ciri baharu pada pengguna YouTube dan YouTube kids bagi melindungi keselamatan pengguna bawah umur. Perubahan pertama ialah kesemua video yang dimuat naik akan diletakkan sebagai peribadi secara lalai. Pengguna perlu mengubah tetapan ini secara manual sekiranya ingin membenarkan ditonton oleh orang ramai.
Seterusnya ciri Autoplay juga dimatikan secara lalai pada aplikasi YouTube Kids. Dengan ini isu kanak-kanak menonton kandungan tanpa henti dapat dikawal. Ciri ini masih wujud tetapi perlu diaktifkan oleh penjaga sebelum boleh digunakan. Akhir sekali ciri mengingatkan pengguna supaya berhenti dan mengingatkan waktu tidur turut diperkenalkan di bawah inisiatif Digital Wellbeing Google. Kesemua ciri baharu ini akan diaktifkan pada pengguna yang berumur bawah 18 tahun.