Cari @ Amanz

Pihak Realme sebelum ini mengumumkan bahawa mereka telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan apabila berjaya memiliki lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia. Dalam pada itu, mereka juga dilaporkan telah berjaya memasarkan sehingga 100 juta unit telefon pintar secara global dalam tempoh hanya 37 bulan – menurut laporan Strategy Analytics.

Bagi meraikannya, Realme telah menjadualkan sebuah acara khusus pada 18 Ogos yang dikenali sebagai Realme Fan Festival 2021. Apa yang lebih menarik mengenainya lagi ialah mereka bakal membawakan penawaran Realme GT Master Edition ke peringkat global pada acara berkenaan. Perkara ini telah dikongsi oleh pihak Realme sendiri menerusi beberapa poster acah yang tular.

Tidak sekadar itu, RealmeBook yang merupakan komputer riba pertama mereka turut bakal diumumkan dalam acara yang sama. Acara pelancaran akan berlangsung secara atas talian sepenuhnya bermula jam 9 malam menerusi beberapa platform rasmi mereka.

Bercakap mengenai Realme GT Master Edition, ia membuat kemunculan rasminya terlebih dahulu di China sekitar bulan lalu. Ia membawakan kemasan menarik hasil sentuhan eksklusif daripada pereka Jepun, Naoto Fukasawa. Ia dilengkapi skrin 6.43-inci Super AMOLED FHD+ 120Hz, cip Snapdragon 778G, memori 8GB RAM (dengan tambahan 5GB RAM), storan sehingga 256GB dan bateri 4,300mAh yang menyokong pengecasan 65W.

Lain-lain spesifikasi pula adalah sistem tri-kamera dengan tetapan 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Ulra-lebar) + 2-Megapixel (Makro) dan kebolehan merakam video dengan tetapan maksimum 4K. Kamera hadapan pula sebesar 32-Megapixel, selain turut menyokong sistem operasi Realme UI 2.0 berasaskan Android 11.

Seterusnya, tidak banyak informasi yang diketahui mengenai RealmeBook. Namun, gambaran awal menunjukkan ianya membawakan konsep yang sama seperti komputer riba biasa – kemudiannya, dilengkapi papan kekunci jenis chicklet berlampu dan pad sesentuh yang agak besar. Turut kelihatan, terdapatanya sokongan pengimbas jari terbina pada butang kuasa yang disertakan.

Sumber : Realme Malaysia, Strategy Analytics

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd