Selepas dilancarkan di Vietnam sekitar bulan Julai yang lalu, Realme C21Y kini mula ditawarkan buat pengguna di Malaysia pula. Ia merupakan penawaran baharu Realme untuk siri C yang dilihat menampilkan reka bentuk fizikal mirip seperti Realme C21 sebelum ini.

Bagi yang berminat, Realme C21Y boleh dibeli di Malaysia dengan tanda harga RM549 sebuah. Jualan pertamanya bermula hari ini menerusi kedai-kedai dan pengedar rasmi Realme di seluruh Malaysia. Terdapat dua pilihan warna menarik yang boleh dipilih seperti Cross Blue dan Cross Black.
Untuk spesifikasi khusus, Realme C21Y dilengkapi skrin 6.5-inci LCD dengan resolusi HD+ (1600 X 720 piksel). Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Unisoc T610, GPU Mali-G52, memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Melengkapinya juga adalah bateri berkapasiti 5,000mAh.

Seterusnya, tetapan kamera di belakang terdiri dengan sensor utama 13-Megapixel, 2-Megapixel untuk lensa monokrom dan 2-Megapixel untuk tujuan makro. Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel. Lain-lain spesifikasi adalah bicu audio 3.5mm, port sambungan mikro-USB, menjalankan sistem operasi RealmeUI berasaskan Android 11 dan lain-lain.