Samsung hari ini telah memperkenalkan fon telinga nirwayar terbaru mereka, dinamakan sebagai Samsung Galaxy Buds2. Fon telinga nirwayar ini hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC)– sekaligus memudahkan anda mendengar dengan lebih jelas, dan membuang bunyi luar yang membantu secara automatik. Samsung berkata ANC pada Buds2 boleh menghalang sehingga 98% bunyi luaran dari memasuki telinga.

Pada fon telinga nirwayar ini, Samsung turut menekankan kepada kualiti audio dengan sekali lagi menggunakan sistem speaker berasingan sebesar 11mm untuk tweeter dan 6.5mm untuk woofer. Rekaan putik audio adalah dari jenis dalam telinga dengan penyumbat silikon.
Pada sisi terdapat pad sesentuh untuk mengawal muzik yang sedang didengari atau menjawab panggilan telefon. Keseluruhan tubuh putik audio dan pod pengecas masih lagi diperbuat daripada plastik. Keseluruhan bahagian luaran pod berwarna putih dengan putik audio dan dalaman sahaja dengan pilihan empat warna berbeza.

Apabila ANC diaktifkan Buds2 boleh beroperasi sehingga 5 jam dan boleh bertahan sehingga 29 jam dengan pod pengecas serta ANC tidak diaktifkan. Pengecasan semula secara berwayar mengambil masa dua jam menerusi port USB-C tetapi turut boleh dicas menggunakan pengecas nirwatar Qi.
Sensor pada putik telinga boleh mengesan apabila ia ditanggalkan dari telinga untuk menjeda muzik secara automatik. Selain ANC, Buds2 juga boleh mengaktifkan mod Ambience Mode yang membenarkan audio dari luar dedengari tanpa fon telinga ditanggalkan. Menerusi aplikasi Samsung Wearable, tiga tahap Ambience Mode boleh diaktifkan.

Bagi yang ingin bersukan, TWS ini melepasi piawaian IPX7 yang menjamin ia kalis peluh. Dengan ciri Auto Switch, Bud2 secara automatik boleh ditambat dengan mudah pada telefon pintar, tablet dan jam tangan pintar keluaran Samsung. Malahan untuk pertama kalinya, Buds2 boleh dikawal sepenuhnya dari jam tangan Galaxy Watch4. Samsung Galaxy Buds2 dijual pada harga $150 (~RM636) sebuah dalam pilihan warna White, Graphite, Olive dan Lavender.