Cari @ Amanz

Motorola kini hadir dengan sebuah lagi model baharu di bawah siri G menerusi pengenalan Moto G60s. Ia telah diumumkan di Brazil dan beberapa titik jualan utama padanya adalah skrin 120Hz, dijana oleh cip MediaTek Helio G95, bateri dengan sokongan pengecasan pantas 50W dan kuad-kamera di belakang.

Untuk spesifikasi khusus, Moto G60s dilengkapi skrin berukuran 6.8-inci IPS LCD dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Selain daripada cip MediaTek Helio G95, ia juga dipadankan dengan GPU Mali-G76 MC4, memori 6GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri 5000mAh.

Kuad-kamera di belakang pula terdiri dengan tetapan 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (Ultra-lebar) + 5-Megapixel (makro) + 2-Megapixel (kedalaman). Kamera hadapan pula adalah sebesar 16-Megapixel yang diletakkan pada lubang skrin hadapan.

Lain-lain spesifikasi adalah NFC, bluetooth 5.0, pengimbas cap jari sisi, menjalankan Android 11, butang khusus untuk menyeru Google Assistant dan lain-lain. Di Brazil, Moto G60s dijual pada harga BRL 2,499 (~RM2,027).

Sumber : Motorola Brazil

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd