Sering kali kami mendengar jenaka Razer akan meletakkan lampu RGB pada kesemua aksesori mereka. Jenaka menjadi realiti kerana mereka meletakkannya juga fon telinga terkini mereka Hammerhead True Wireless yang baru dilancarkan semalam.

Hammerhead True Wireless ialah TWS dengan pemandu audio sebesar 10mm dan sistem pembatalan hingar aktif (ANC). Ia adalah model kemaskini kepada Hammerhead asal yang dilancarkan dua tahun yang lalu. Terdapat sistem lampu RGB Razer Chrome pada bahagian sisi yang warnanya boleh ditukar mengikut kehendak pengguna dan diubah menggunakan aplikasi khas Razer.

Dengan lampu RGB dan ANC diaktifkan, fon telinga mampu beroperasi sehingga 4 jam dan sehingga 20 jam menggunakan pod pengecas. Jika kedua-duanya dimatikan ia boleh beroperasi sehingga 6.5 jam dan sehingga 32.5 jam menggunakan pod pengecas.
Fon telinga ditambat menggunakan bluetooth 5.2 dengan sokongan coded SBC dan AAC. Mod gaming mengurangkan masa pendam ke sekitar 60 ms. Ini sebenarnya masih terlalu perlahan dan tiada perubahan langsung berbanding model terdahulu. Fon telinga juga kalis air IPX4. Pra-tempahan dibuka 31 Ogos ini dengan harga jualan pula RM629 sebuah.