Cari @ Amanz

Honor Magic3 dan Magic3 Pro dilancarkan hari ini sebagai peranti Android mercu terkini dari Honor sejak bergerak secara kendiri dari Huawei. Kedua-dua peranti mengutamakan kemampuan fotografi dengan rekaan peranti yang premium.

Honor Magic 3 Pro dilengkapi skrin 6.76″ AMOLED FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 120Hz yang melengkung pada kedua-dua sisi. Dari hadapan peranti kelihatan hampir tidak mempunyai sebarang bezel. Menjana peranti ialah pemproses Snapdragon 888+, memori sehingga 8GB, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4600 mAh. Sistem pengecasan pantas berwayar 66W disokong bersama dengan pengecasan nirwayar 50W.

Kamera utama adalah sebesar 50MP dipadankan dengan sensor telefoto 64MP dengan zum sehingga 100X, lensa ultra sudut lebar 13MP, sensor monokrom 64MP dan sensor 3D ToF. Dengan spesifikasi yang tinggi ini, peranti juga menyokong zum optikal sehingga 3.5x, hibrid sehingga 10X. Pada bahagian hadapan pula diletakkan kamera sudut lebar dan sensor 3D untuk sistem nyahkunci menggunakan wajah.

Sistem rakaman video baharu Magic-Log turut diumumkan yang menurut Honor mengekalkan kualiti tetapi tanpa saiz fail yang besar seperti RAW. Sistem kecerdasan buatan yang disertakan pula memudahkan proses menghasilkan video berkualiti filem pada peranti mudah alih. Ia juga adalah telefon pintar pertama yang melepasi piawaian IMAX Enhanced bagi memaparkan kandungan dengan warna dan resolusi yang sepatutnya. Dari segi audio pula, Magic3 Pro dilengkapi sistem speaker stereo dengan sokongan DTS X.

Honor Magic 3 pula dilengkapi skrin 6.76″ AMOLED FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 120Hz yang melengkung pada kedua-dua sisi. Dari hadapan peranti kelihatan hampir tidak mempunyai sebarang bezel. Menjana peranti ialah pemproses Snapdragon 888+, memori sehingga 8GB, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4600 mAh. Sistem pengecasan pantas berwayar 66W disokong bersama dengan pengecasan nirwayar 50W.

Kamera utama adalah sebesar 50MP dipadankan dengan sensor monokrom 64MP dan lensa ultra 13MP dengan sistem pemfokusan laser. Pada bahagian hadapan pula diletakkan kamera sudut lebar dan sensor 3D untuk sistem nyahkunci menggunakan wajah. Kemampuan video pada Magic3 adalah sama seperti pada Magic3 Pro.

Kedua-dua peranti melepasi piawaian IP68 membuatkan tiada lagi kerisauan mengenai kerosakan sekiranya ia terjatuh ke dalam air. Paling penting sekali Magic3 dan Magic3 Pro menggunakan sistem Android 11 dengan pelancar Magic UI yang turut menyokong Google Play Services.

Di Eropah Honor Magic3 dijual pada harga 899 (~RM4463) untuk 8/256GB dengan empat pilihan warna manakala Honor Magic3 Pro pula dijual pada harga €1099 (~RM5453) untuk 8/256GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd