Cari @ Amanz

Keselamatan ketika menggunakan aplikasi media sosial adalah amat penting kerana ia kini digunakan oleh insan yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan onar. TikTok yang kini menjadi aplikasi yang paling banyak dimuat turun mempunyai jumlah pengguna bawah umur yang tinggi. Untuk memastikan keselamatan golongan ini, beberapa lagi ciri baharu diperkenalkan TikTok.

Bagi pengguna di antara umur 16-17 tahun, kemampuan menerima DM telah dimatikan secara lalai untuk semua pengguna. Jika ingin digunakan juga pengguna perlu mengaktifkannya secara manual. Bagi pengguna bawah 16 tahun, ciri ini langsung tidak boleh digunakan.

Apabila memuat naik video pula, pengguna bawah usia 16 tahun akan diberikan satu lagi skrin tambahan untuk menetapkan siapa boleh menonton video mereka. Tetapan yang diberikan ialah hanya diri mereka, kawan atau untuk pengikut sahaja. Ciri Duet dan Stitch juga tidak boleh diakses pada video pengguna bawah 16 tahun.

Pengguna berusia 16-17 tahun turut boleh menghalang video dari dimuat turun menggunakan tetapan baharu. Ciri ini telahpun dihalang pada pengguna berusia lebih muda. Akhir sekali pengguna 13-15 tahun tidak akan menerima notifkasi aplikasi selepas jam 9 malam dan pengguna 16-17 tahun pula tidak menerimanya selepas jam 10 malam untuk memastikan waktu tidur tidak diganggu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd