Carian
Lembaga Persaingan dan Pasaran UK Mendapati Pembelian Giphy Oleh Facebook Adalah Anti Persaingan
August 13, 2021 Effi Saharudin

Pada Mei tahun lalu Facebook mengambil alih Giphy – laman GIF beranimasi terbesar dunia. Semasa pembelian dilakukan ramai yang tertanya-tanya mengapa pembelian dilakukan. Tetapi Lembaga Persaingan dan Pasaran (CMA) United Kingdom mendapati pembelian ini akan mewujudkan amalan anti persaingan.

CMA berkata sistem Giphy digunakan oleh platform media sosial lain seperti Snapchat, Twitter dan TikTok. Dengan ia kini milik Facebook, Giphy boleh dihalang dari digunakan pada platform lain sekaligus mengurangkan pilihan GIF oleh pengguna. Facebook turut boleh meminta platform lain memberi akses data pengguna GIF yang akan memberikan kelebihan kepada Facebook yang sudahpun mendominasi pasaran pada waktu ini.

Giphy GIF Maker

Sebelum diambil alih, Giphy menawarkan perkhidmatan pengiklanan menggunakan GIF eksklusif di Amerika Syarikat dengan perancangan mengembangkannya ke United Kingdom. Rancangan ini telah dibatalkan dan dilihat supaya tidak bersaing dengan platform pengiklanan Facebook. Facebook kini memegang 50% pasaran pengiklanan di UK yang bernilai £5.5 bilion (~RM33 bilion). Tanpa pesaing Facebook akan mengembangkan lagi pegangan mereka di masa hadapan.

CMA kini meminta pendapat orang ramai mengenai penemuan mereka ini sebelum memberikan keputusan muktamad pada 6 Oktober. Jika Facebook masih dilihat akan melakukan amalan anti persaingan, CMA akan menyarankan supaya Giphy dijual semula untuk kepentingan semua pihak.

Komen