Cari @ Amanz

Tempahan Komputer Riba Produktiviti MSI Creator Z16 Kini Dibuka Pada Harga RM11,999

Oleh Nazrin

Link Copied!

Salah satu daripada komputer riba yang diperkenalkan oleh MSI pada awal tahun ini ialah MSI Creator Z16, iaitu komputer riba yang memfokuskan kepada penggunaan produktiviti walaupun ia hadir dengan konfigurasi sebuah komputer riba gaming.

MSI Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk komputer riba tersebut sudahpun dibuka, yang mana ia akan hadir dengan satu konfigurasi sahaja. Komputer riba ini dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 1600×1200 pixel dan kadar segar semula 120Hz. Paparan ini juga hadir dengan kebolehan untuk memaparkan gamut warna DCI-P3 100 peratus untuk mereka yang bekerja dalam industri perfileman dan memerlukan kemampuan olahan warna jitu.

Dari segi spesifikasi dalaman, MSI Creator Z16 untuk pasaran Malaysia dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-11800H, memori DDR4 sebanyak 32GB, storan SSD NVMe sebesar 1TB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060.

MSI Creator Z16 hadir dengan rekaan yang sangat minimalis, khususnya dengan pilihan warna Lunar Grey mereka, yang memuatkan paparan skrin dengan bingkai nipis, ketebalan 1.6cm dan hanya seberat 2.2kg sahaja. Ia juga dilengkapi sejumlah ciri-ciri moden yang berguna untuk pelbagai jenis pengguna, seperti Thunderbolt 4, WiFi 6E, Bluetooth 5.2 dan pembaca kad MicroSD. Komputer riba ini juga dilengkapi dengan bateri 90Wh yang menjanjikan jangka-hayat bateri yang lama.

MSI Malaysia mengatakan bahawa MSI Creator Z16 ini boleh ditempah bermula hari ini pada harga RM11,999. Ia hadir dengan waranti selama dua tahun, dan akan mula dijual secara rasmi pada sekitar 23 Ogos 2021 kelak. Menempah komputer riba ini sekarang akan memastikan bahawa anda akan mendapat komputer riba ini apabila ia tiba di pasaran Malaysia kelak.

Jika anda berminat untuk menempah sebuah komputer riba ini, ia boleh didapati melalui kedai atas talian MSI Malaysia ataupun Lazada.


Komen ()