Ketika acara pelancaran tempoh hari, Samsung turut tidak ketinggalan mengemaskini rangkaian fon telinga mereka dengan penawaran produk baharu. Melaluinya, Samsung Galaxy Buds2 diumumkan dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC) dan boleh bertahan maksimum sehingga 29 jam lamanya. Kini, harga jualan rasminya untuk pasaran Malaysia telah dikongsi – di mana, ianya berharga RM499 untuk seunit.

Samsung Galaxy Buds2 masih memfokuskan kepada kualiti audio yang baik dengan menggunakan sistem speaker berasingan sebesar 11mm untuk tweeter dan 6.5mm untuk woofer. Rekaan putik audio pula adalah dari jenis dalam telinga dengan penyumbat silikon. Seterusnya, ia turut menyertakan dua mikrofon secara terbina, di samping mempunyai tiga tahap Ambience Mode boleh diaktifkan menerusi aplikasi Samsung Wearable.

Dengan ciri Auto Switch pula, Galaxy Buds2 secara automatik boleh ditambat dengan mudah pada telefon pintar, tablet dan jam tangan pintar keluaran Samsung. Malahan untuk pertama kalinya, Buds2 boleh dikawal sepenuhnya dari jam tangan Galaxy Watch4. Tidak ketinggalan, ia juga melepasi piawaian IPX7 yang menjamin ia kalis peluh. Terdapat beberapa pilihan warna menarik yang tersedia seperti White, Graphite, Olive dan Lavender.