Pangkalan Data T-Mobile Digodam – Maklumat Peribadi 100 Juta Pengguna Dijual Di Arena Web Gelap

Diterbitkan pada Ogos 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kes-kes godaman terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi bukanlah sesuatu yang baru. Syarikat-syarikat ini secara ringkasnya memegang maklumat peribadi berpuluh, jika tidak beratus juta pengguna di negara-negara yang mereka beroperasi, dan sesiapa yang mahukan maklumat peribadi ini akan cuba untuk menggodam mereka untuk mendapatkan maklumat tersebut.

Demikianlah yang berlaku kepada syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat, T-Mobile yang baru-baru ini telah mengesahkan bahawa pangkalan data mereka telah digodam baru-baru ini, dan sehingga 100 juta butiran peribadi pelanggan mereka telah dicuri.

Perkara ini dilaporkan oleh Motherboard yang mana mereka juga mengesahkan bahawa data pengguna ini telahpun mula dijual di arena web gelap (dark web) yang mana butiran peribadi seperti nombor keselamatan sosial, nombor telefon, nombor IMEI peranti, alamat rumah, alamat emel, dan butiran lesen memandu dapat dilihat.

Ia turut disahkan bahawa penggodam yang mendapatkan data pengguna ini sedang cuba untuk menjual butiran peribadi 30 juta pengguna untuk 6 Bitcoin di arena web gelap, dan ini menunjukkan betapa banyak butiran yang telah dicuri oleh mereka.

T-Mobile mengatakan bahawa mereka telahpun memperbaiki kerentanan yang menyebabkan kecurian data pengguna tersebut, dan sedang dalam proses untuk mengemaskini sistem mereka supaya perkara sama tidak berulang lagi. Mereka juga mencadangkan supaya para pengguna T-Mobile untuk menukar kata laluan akaun mereka untuk memastikan maklumat mereka selamat.

Walaupun begitu, setakat ini ia masih tidak diketahui bagaimanakah T-Mobile bercadang untuk memadamkan data pelanggan yang telahpun berlegar di arena web gelap sehingga kini.

Sumber: Motherboard

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami