Teknologi mengubah bagaimana kita berinteraksi dengan individu lain, mendapat sumber berita, membeli belah dan banyak lagi. Penggunaan aplikasi pintar untuk mencari pasangan hidup juga sudah menjadi norma biasa. Tinder, aplikasi mencari pasangan yang cukup popular di dunia mengumumkan mereka akan akhirnya melancarkan sistem pengesahan identiti pengguna ke peringkat global tahun ini.

Sistem ID Verification diperkenalkan oleh Tinder kepada pengguna di Jepun sahaja sejak 2019. Tetapi untuk memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan berlakunya penipuan, ID Verification akan dikembangkan kepada pengguna global secara berperingkat pada suku akan datang.
Tinder berkata sistem ID Verification masih akan mengambil berat privasi pengguna dan tidak akan diwajibkan pada waktu ini kecuali jika ia diperlukan atas sebab udang-undang negara tertentu. Di Jepun ia diwajibkan dengan pengguna memuat naik gambar pasport, lesen memandu dan kad kesihatan nasional sebagai bukti.
Pengguna yang telah menjalani proses ID Verification akan diberikan pengesahan identiti oleh Tinder seperti yang dilakukan platfor media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook.