Semasa tahun Pixel 2 dilancarkan, iaitu 2017 – Google mula memperkenalkan aksesori set fon telinga nirwayar pertama mereka Google Pixdel Buds. Ia adalah jenis neckband dengan kabel fabrik, memfokuskan fungsi penterjemahan Google Translate serta penggunaan Google Assistant. Ia tidak menerima maklum balas baik, kerana kualiti audio yang biasa sahaja dan harga jualan yang agak mahal.
Google mengambil iterasi Pixel Buds ini dan menjadikannya USB-C Digital Earbuds for Pixel Phones atau Google Pixel USB–C earbuds. Tahun lepas, generasi kedua diperkenalkan dalam bentuk TWS dan ia mula diterima dengan baik oleh pengulas dan pengguna.
Sedar dengan kejayaan ini dan tahu akan sejarah mereka yang berjaya dalam menjual produk dalam kategori kelas pertengahan – iaitu siri-A Google Pixel, Google melancarkan pula Pixel Buds Series-A. TWS mampu milik mereka yang bersaing dengan Nothing (Ear) 1, AirPods (bukan Pro) dan Galaxy Buds2. Kami berpeluang menguji TWS ini dan ini adalah artikel ulasan. Dalam artikel ini kami kupaskan sama ada adakah TWS ini berbaloi untuk dimiliki dan sesuai untuk siapa?
Spesifikasi Dan Rekaan
Pixel Buds Series-A | |
---|---|
Jenis | Fon dalam telinga |
Pemandu | 12mm Dinamik Lubang spatial untuk pengurangan tekanan & kesedaran spatial |
Mikrofon | Dwi-mikrofon |
Bateri | Berterusan: Sehingga 5 jam Pod pengecas: Sehingga 24 jam 15 minit cas, sehingga 3 jam ketahanan |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | SBC & AAC |
Sistem operasi disokong | Android dengan GMS (Aplikasi Pixel Buds) iOS (tiada aplikasi) Harmony OS/EMUI (tiada aplikasi) < Peranti Bluetooth 4.0 lain |
Sokongan pembantu maya | Google Assistant |
Pad sesentuh | Ya Tekan 1x untuk main/jeda Tekan 2x untuk langkau/tolak panggilan Tekan 3x mandir/kembali muzik Tekan & tahan untuk Google Assistant |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Sensor | Infra Merah untuk auto-jeda Pemecut untuk pergerakan Sensor Half Effect pada pod pengecas |
Harga Jualan | Sekitar RM600 |
Google Pixel Buds Series-A meminjam rekaan daripada Pixel Buds 2020. Tetapi lebih kompak dan dengan pilihan warna terhad. Spesifikasi juga banyak dikurangkan untuk dijual pada harga lebih mampu milik. Pixel Buds Series-A ini adalah TWS kedua daripada Google, dan ia adalah aksesori audio asas untuk melengkapkan ekosistem pengguna Google Pixel. TWS ini adalah kategori kelas pertengahan dan bukan dalam kategori mercu atau premium.
Pemacu audio yang digunakan adalah jenis dinamik bersaiz 12mm dan pada setiap fon telinga turut mempunyai lubang spatial (spatial vent) untuk pengurangan tekanan dan kesedaran spatial. Sensor yang dimuatkan dalam TWS ini adalah dua mikrofon jenis beamforming, sensor pemecut untuk menjejak pergerakan, sensor infra-merah untuk ciri aut-jeda dan sensor Half Effect pada pod pengecas untuk mengesan sama ada ia terbuka atau tertutup.
Pixel Buds-A ini hanya menyokong codec SBC dan AAC, bateri 5 jam untuk penggunaan berterusan dan mencapai 24 jam bersama pod pengecas. Pengecas adalah melalui USB-C, dengan 15 minit pengecasan boleh bertahan sehingga 3 jam penggunaan. Berbeza dengan Pixel Buds 2020, TWS ini tidak mempunyai sokongan pengecasan nirwayar.
Beza kedua yang jelas Google nyatakan adalah, ia hanya menyokong pengurangan hingar dan tidak menyokong pengurangan bunyi angin.
Kemasan TWS ini juga cukup baik dan berkualiti tinggi. Ia adalah plastik dengan kemasan kusam. Warna yang ditawarkan adalah putih atau hijau zaitun. Kekurangan pada warna putih ini adalah, ia mudah kotor dan menjadi kehitaman kerana daki atau kekuningan apabila dimakan masa.
Binaan keseluruhan Pixel Buds Series-A ini cukup premium walaupun ianya produk kelas pertengahan Google. Kemasannya sepadan dengan panel belakang Pixel dan astetik rekaan minimal ini sangat bersesuaian dengan tema produk Google. Sama seperti sebelum ini, TWS ini juga memfokuskan Google Assistant dan Google Translate. Ia khusus untuk peranti Android dengan GMS, tetapi jika peranti iOS, Harmony OS, EMUI atau Windows dan macOS ingin gunakan – Bluetooth 4.0 adalah syarat minima.
Kualiti Audio
Ini adalah kali kedua produk audio daripada Google seperti ini tiba di Makmal Amanz. Sebelum ini adalah versi USB-C yang disertakan sekali dalam kotak Pixel 3 set Australia. Sebaik sahaja diterima, kami tambatkan pada Pixel 4 XL, Mi 11, Windows 10/11 dan Galaxy Note20. Memandangkan semua peranti Android kami semasa menguji mempunyai GMS, kami turut pasangkan aplikasi Pixel Buds.
Pandangan pertama kami, ia mempunyai kualiti audio yang cukup baik. Ia lebih kepada penalaan dalam bentuk-V yang memfokuskan kepada highs. Audio cukup jelas dan terang, tetapi sedikit lemah dan tidak bertenaga. Itu adalah ujian pada Spotify dan Apple Music. Kami turut uji menggunakannya dalam sesi telesidang dan mendapati ia mempunyai kualiti mikrofon yang baik.
Kami menggunakan Pixel Buds Series-A ini selama hampir sebulan. Ia adalah TWS harian kami daripada panggilan telefon, GPS, muzik, pelbagai sesi telesidang dan sesi siaran langsung dan juga menggunakannya untuk penstriman.
Kami dapati bass tidak begitu memuaskan dan agak lemah. Dentuman bass seakan audio di dalam mangkuk dan kemudian menjadikan sub-bass mengganggu pada bahagian mid-bass. Mendengar muzik pop kegemaran kurang butiran dan kualiti keseluruhan terasa ada yang kurang. Walaupun ada ciri Bass Boost, ia tidak begitu memainkan peranan.
Pada bahagian vokal, suara penyanyi lelaki tidak begitu natural dan lemah. Ia cuba menangkap nada tinggi penyanyi menjadikan muzik bosan didengar. Penyanyi wanita tidak menjadi masalah, walaupun lebih enak – masalah tidak natural itu kekal. Muzik seperti Ed Sheeran dan Taylor Swift tidak mengasyikkan berbanding TWS lain dalam harga sama.
Nada tinggi pada Pixel Buds-A ini mempunyai kualiti yang cukup baik. Tetapi instrumen yang lebih nyaring tidak capai pada tahap yang enak. Pementasan audionya terlampau kacau bilau dan serabut, sukar untuk bezakan instrumen. Profilnya lebih kepada di tengah-tengah dan penggunaan sekitar 2 jam sudah penat.
Bukan itu sahaja, walaupun ia adalah jenis TWS dengan putik telinga silikon. Ia masih tidak begitu ketat di telinga dan longgar seakan AirPods. Banyak penggunaan saya adalah duduk di kerusi atau di katil, kerana berjalan membuatkan saya sedikit risau ia terjatuh dan hilang. Ia juga agak ringan dan kecil.
Fungsi Ambient EQ pula untuk pengurangan hingar adalah tidak begitu berfungsi. Sukar untuk bezakan bilakah pengurangan hingar ini bermula. Ciri menarik pada kami yang berfungsi adalah ciri aras suara yang dilaraskan secara automatik. Ia memudahkan dan unik, tidak banyak yang ditawarkan oleh pesaing.
Kemampuan Google Assistant dan Google Translate adalah antara yang terbaik. Masa respon yang pantas dan hasil yang lancar. Suara Google Assistant juga cukup jelas dan arahan yang dilakukan adalah dengan segera.
Kawalan Dan Aplikasi
Peranti Android dengan GMS, aplikasi Pixel Buds tidak diperlukan pun tidak mengapa. Kerana semua ciri asas yang diperlukan sudah terbina. Contohnya tambatan pantas Fast Pair. Tetapi aplikasi ini diperlukan jika ingin menggunakan kawalan tambahan serta mengemaskini perisian.
Dalam aplikasi akan terdapat ciri mencari Pixel Buds yang hilang, tetapan Google Assistant, menghidupkan Galak bes (Bass Bosst), mengaktifkan Ambient EQ, mengubah kawalan sentuhan, menghidupkan fungsi auto-jeda ketika fon telinga dikeluarkan daripada telinga dan juga bantuan serta tetapan tambahan lain.
Kawalan pada Pixel Buds Series-A ini adalah mudah dan sangat responsif. Hanya ada sokongan kawalan sentuhan sahaja, kerana lain-lain adalah pada peranti atau Google Assistant atau juga secara automatik dengan bantuan AI Google.
Kawalan asas adalah seperti 1x sentuh untuk main atau jeda muzik/media yang sedang bermain, 2x sentuh untuk langkau/tolak panggilan/matikan Google Assistant, 3x sentuh untuk mandir media dan kembali ke muzik atau media lepas dan sentuh dan tahan pula adalah untuk menyeru Google Assistant.
TWS ini tiada pilihan untuk mengawal aras suara selain daripada secara automatik atau mengarahkan Google Assistant. Dalam cubaan saya, mengarahkan “Hey Google, set the volume to 70%” menjadi sekelip mata.
Bateri
Ketahanan bateri bukanlah yang terbaik untuk Pixel Buds Series-A. Dengan saiz yang kecil, ciri yang asas, serta harga yang lebih murah dari model lalu, banyak pengorbanan perlu dilakukan. Pixel Buds ini dicas melalui USB-C dan mengambil masa 15 minit untuk ketahanan sehingga 3 jam. Dalam banyak-banyak TWS yang kami uji, bateri sebenarnya tidak menjadi masalah – lebih-lebih lagi ketika lockdown dan tidak boleh pergi ke mana-mana ini.
Ketahanan yang Google dakwa iaitu sehingga 5 jam penggunaan berterusan dan 24 jam bersama pod pengecasan dapat kami sahkan. Selama sebulan menggunakan TWS ini, sehari dua jam boleh bertahan untuk hampir seminggu. Di atas kertas, ia bukankah yang paling lama, tetapi untuk Pixel ia memadai.
Kesimpulan
Google Pixel Buds Series-A tidak dinafikan adalah aksesori audio yang berkualiti. Kualiti audio yang cukup baik, sesuai dalam kelasnya (mengikut harga jualan di Amerika), mempunyai ciri dan fungsi yang cukup menarik untuk perkhidmatan Google. Pixel Buds Series-A ini bersaing sengit dengan Apple Beats Studio Buds pada harga lebih kurang sama.
Sayang sekali, TWS ini tidak mempunyai sokongan pembatalan hingar aktif yang sedia popular dalam TWS kelas pertengahan. Untuk ciri Ambient EQ, penggunaan ketika lockdown tidak begitu menarik kerana masa dihabiskan di dalam rumah. Di luar, ia mampu membatalkan frekuensi seperti angin dan sedikit pada enjin kereta. Namun tidak sehebat yang ada sokongan ANC.
Disebabkan Pixel Buds Series-A ini tidak dijual secara rasmi, harga jualan di Malaysia mencapai RM600. Anda boleh dapatkannya di kedai seperti Techbug yang menjual set fon telinga ini. Adakah ianya berbaloi dan untuk siapakah TWS ini?
Jika anda pengguna Google Pixel atau pengguna tegar Google Assistant, ini adalah set fon telinga nirwayar sebenar untuk anda. Jika tidak, masih ada banyak pilihan mampu milik yang anda boleh dapatkan.
Pro
- Kualiti audio yang baik memfokuskan pada vokal.
- Kecil dan cukup ringan
- Ekosistem yang hebat dengan peranti Android dengan GMS
- Tambatan pantas
- Google Assistant dan Google Translate yang lebih efisien digunakan
Kontra
- Ambient EQ dan Bass Boost seakan tidak berfungsi
- Pengalaman pendengaran keseluruhan yang tidak mengasyikkan
- Kemasan warna putih yang mudah kotor
- Tidak begitu selesa untuk penggunaan jangka masa panjang