Cari @ Amanz

ASUS Memperkenalkan Komputer Riba Gaming ROG Zephyrus G14 Edisi Alan Walker – Spesifikasi Berkuasa Dengan Gimik Tersendiri

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri komputer riba ROG Zephyrus G14 keluaran ASUS cukup terkenal kerana rekaannya yang nipis dan ringan, disamping hadir dengan spesifikasi dalaman yang sangat berkuasa. Pada tahun ini, ASUS dilihat sekali lagi menggunakan gabungan konfigurasi AMD dan NVIDIA untuk menguasakan komputer riba ini.

Terkini, ASUS baru sahaja mengumumkan kehadiran komputer riba ROG Zephyrus G14 Edisi Khas Alan Walker, iaitu sebuah kerjasama diantara ASUS dan juga DJ antarabangsa Alan Walker untuk membangunkan sebuah komputer riba yang boleh dikatakan cukup unik sekali.

Bermula dengan paparan komputer riba ini, ia hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2560×1440 dan kadar segar semula 120Hz. Bagi mereka yang mementingkan kejituan warna, paparan ini juga hadir melepasi piawaian warna Pantone dan boleh memperlihatkan gamut warna DCI-P3 sepenuhnya.

Dari segi spesifikasi dalaman, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 9 5900HS, memori DDR4 sebanyak 16GB, storan dalaman SSD NVMe PCIe sebesar 1TB dan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050Ti.

Dari segi palam output pula, Zephyrus G14 Edisi Alan Walker ini dimuatkan dengan satu oalam USB 3.2 Gen2 dengan sokongan DisplayPort 1.4, satu palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.0b dan satu palam audio 3.5mm.

Komputer riba ini hadir dengan rekaan warna hitam, yang mana panel LED AniMe Matrix dan plat nama Alan Walker hadir dengan rekaan warna Spectral Blue yang memberi komputer riba ini elemen yang lebih anggun apabila dilihat dari belakang.

Satu gimik baru yang diperkenalkan dengan kerjasama ini hadir melalui kotak dimana ROG Zephyrus G14 ini disimpan. Dari sekilas pandang ia mungkin dilihat sebagai sebuah kotak biasa yang direka khas untuk komputer riba ini. Tetapi ia juga boleh disambungkan ke komputer riba ini melalui kabel USB Type-C yang boleh dijadikan sebuah alat sampel audio melalui permukaan akrilik yang boleh mendengarkan 18 sampel audio yang direka oleh Alan Walker sendiri.

Setiap pembelian komputer riba ROG Zephyrus G14 versi Alan Walker ini juga akan hadir dengan topi dan stokin dengan rekaan ROG dan Alan Walker yang disulam.

Menurut ASUS Malaysia, komputer riba ROG Zephyrus G14 versi Alan Walker akan hadir di pasaran tempatan pada bulan September kelak pada harga yang akan diumumkan nanti.


Komen ()