5 Sebab Disney+ Hotstar Mengecewakan Di Malaysia

Diterbitkan pada Ogos 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah lebih dua bulan Disney+ Hotstar melabuhkan Millennium Falcon, Helicarrier dan Axiom di Malaysia. Pelancaran atas taliannya sangat gah dengan pembabitan selebriti tempatan dengan jumlah kandungan tempatan yang pelbagai. Saya antara insan yang sangat teruja dengan kemasukan platform penstriman ini di Malaysia sehingga sanggup membayar langganan terus selama tiga bulan tanpa berfikir panjang.

Tetapi selepas lebih dua bulan euforia semakin berkurangan digantikan dengan kekecewaan demi kekecewaan. Sebagai seorang pengguna saya rasakan Disney+ Hotstar perlu lebih serius dalam penawaran kandungan dan ciri-ciri tambahan berbanding pesaing. Maka hari ini saya ingin memberikan beberapa sebab mengapa Disney+ Hotstar masih lagi mengecewakan bagi pelanggan di Malaysia.

1. Mana Aplikasi?

Selepas lebih 60 hari, masih tiada aplikasi untuk televisyen pintar Samsung dengan Tizen, konsol Playstation 5, PlayStation 4, Xbox Series X, Xbox Series S, Xbox One. Aplikasi untuk televisyen pintar LG dengan WebOS masih lagi terhad tanpa sokongan 4K, Dolby Vision atau Dolby Atmos diaktifkan. Satu-satunya platform televisyen pintar dengan sokongan sempurna ialah Android TV.

Ini adalah tidak boleh diterima akal lebih-lebih lagi apabila menyedari di Malaysia sistem operasi Tizen dan WebOS mempunyai user base yang lebih besar berbanding Android TV. Malahan mengikut data yang dikongsi oleh Strategy Analytics tahun lalu Samsung memegang 14% pasaran televisyen pintar yang merupakan peratusan terbesar. Gabungan Tizen dan WebOS adalah 18% sedangkan Android TV hanya 4% Dosa lebih besar ialah apabila menyedari konsol memegang 11% carta pai penstriman dalam laporan tersebut.

Ini bermakna Disney+ Hotstar tidak merasakan 29% pengguna konsol, Tizen dan WebOS sebagai tidak penting. Yang membuatkan saya rasa semakin ingin mengamuk ialah aplikasi Disney+ ditawarkan pada kesemua platform yang dilupakan ini. Ya jika anda di Amerika Syarikat, Singapura, dan Eropah isu tiada aplikasi ini tidak wujud. Jelas isu ini salah Disney+ Hotstar kerana janji tinggal janji sejak perkhidmatan mula ditawarkan di India pada Mac 2020.

2. Mana Sari Kata Bahasa Inggeris?

Tak ada aplikasi saya boleh maafkan lagi kerana adanya sokongan AirPlay dan Chromecast. Saya masih boleh tonton Disney+ Hotstar di televisyen Samsung menggunakan AirPlay. Ia bukan solusi paling mantap tetapi lebih baik dari TV tahun 2020 saya menjadi tukun tak berguna. Yang lebih sukar untuk dimaafkan ialah tiadanya sari kata bahasa Inggeris pada kandungan dari Hotstar. Menonton semula Buffy The Vampire Slayer, Alias, dan How I Met You Mother tanpa sari kata Inggeris adalah amat pelik.

Lihat tangkapan layar di atas dan katakan dengan ikhlas babak yang cukup terkenal ini mempunyai impak yang sama ataupun tidak. Bagi peminat siri popular, dialog akan dihafal dalam bahasa Inggeris. Sari kata yang tepat memudahkan proses menghafal. Sari kata bahasa lain baik untuk mereka yang tidak memahami bahasa Inggeris tetapi menyusahkan peminat tegar dan penonton OKU.

Ya golongan OKU pendengaran paling terkesan dengan ketiadaan sari kata. Mereka terpaksa menonton filem atau kandungan versi sari kata dan bukan dalam bahasa asal. Sangat tidak mesra OKU! Proses memasukkan sari kata bukanlah sesuatu yang komplek. Maka ketiadaannya adalah tidak masuk akal kerana boleh sahaja dilakukan platform penstriman lain.

BONUS : Disney+ Hotstar tidak meletakkan tajuk episod dan sekadar meletakkan angka. Peminat siri popular ingin melihat tajuk episod bagi memudahkan mereka mencari episod kegemaran.

3. Mana Kandungan 4K?

Jualan televisyen 4K semakin meningkat kerana harganya yang semakin murah. Pengenalan internet halaju tinggi yang murah dan kandungan 4K semakin mudah diakses mendorong jualan TV 4K. Tetapi di Disney+ Hotstar jumlah kandungan dalam resolusi ultra tinggi ini masih agak terhad. Malahan ia ditawarkan pada kandungan Disney+ yang baharu sahaja seperti What If?, Loki, Wandavision dan The Mandalorian. Hanya sebahagian filem Marvel Cinematic Universe ditawarkan pada resolusi 4K.

Nanologi Star Wars kesemuanya masih lagi FHD. Paling sedih ialah dokumentari Empire of Dreams: The Story of Star Wars Trilogy (saya sarankan anda tonton) masih lagi pada resolusi 1080p. Tetapi ini tidak tepat kerana ia sekadar kandungan tambahan dari DVD asal pada resolusi 720 x480 pixel yang di upscaled.Apabila ditonton pada TV 4k ia kelihatan amatlah buruk. Sebagai satu-satunya platform penstriman dengan hak eksklusif Star Wars, penawaran kandungan klasik pada resolusi rendah tidak masuk akal.

4.Mana Profil?

Mana profil? Ciri yang sudah menjadi standard di YouTube, Netflix, dan Prime Video masih belum diaktifkan kepada pengguna di Malaysia. Profil adalah perlu khususnya bagi mereka yang duduk serumah dengan adik beradik yang lain. Setiap individu boleh mempunyai profil peribadi supaya saranan kandungan dan sejarah tontonan tidak menjadi rojak buah.

Bagi ibu bapa pula profil berbeza membolehkan kawalan kandungan yang boleh ditonton oleh anak. Dengan ini tidak timbul isu remaja bawah 18 tahun di rumah menonton kandungan ganas seperti filem Logan, Aliens dan Deadpool. Sekali lagi ingin kami ingatkan bahawa ciri profil disokong di Disney+ tetapi tidak di Disney+ Hotstar.

5. Mana Kandungan Baharu Yang Kerap?

Perkara terakhir ini mungkin tidak menjadi isu besar kepada semua tetapi besar bagi saya. Jumlah kandungan baharu yang ditawarkan oleh Disney+ Hotstar adalah kerdil jika dibandingkan dengan Netflix. Alasan pandemik tidak boleh digunakan kerana Netflix dan Prime Video masih berjaya menghasilkan kandungan asli eksklusif semasa wabak masih berleluasa.

Ini menjadi isu kerana Disney+ menawarkan siri dengan episod baharu secara mingguan. Katakanlah kandungan baharu yang ditawarkan tidak menarik minat anda (seperti saya tak minat langsung menonton The Bad Batch) kemudian tidak banyak kandungan untuk ditonton minggu tersebut. Rasa seperti rugi membayar kalah memakai.

Netflix memperkenalkan kandungan asli baharu hampir setiap hari dengan kandungan pihak ketiga setiap minggu. Untuk Disney+ Hotstar kekal kompetitif mereka perlu menawarkan ciri-ciri yang setanding dengan pesaing mereka atau sekurang-kurangnya dengan aplikasi asal Disney+.

Adakah anda bersetuju dengan pendapat kami? Jika ya adakah perkara lain yang anda rasakan mengecewakan pada perkhidmatan penstriman ini. Sekiranya tidak apakah pula pendapat anda?

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami