Peranti kelas permulaan Samsung Galaxy A03s telah dilancarkan di India. Seperti beberapa maklumat yang tertiris sebelum ini, Galaxy A03s dilengkapi skrin 6.5″ IPS LCD, dijana cip MediaTek Helio P35, memori sehingga 4GB RAM , storan sehingga 64GB dan bateri sebesar 5000 mAh dengan pengecasan 15W. Storan boleh ditambah sehingga 1TB menggunakan kad mikro SD.

Kamera utama 13MP sudut lebar dipadankan dengan 2MP makro. Kamera swafoto pula sebesar 5MP yang diletakkan dalam takuk kamera yang kecil. Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sisi kanan peranti. Bicu audio 3.5mm turut disertakan bersama dengan port pengecasan USB-C. Akhir sekali sistem operasi Android 11 dengan pelancar One UI 3.1 Core digunakan. Versi pelancar ini hanya memberikan ciri asas tanpa tambahan seperti One UI 3.1 biasa.
Kerana ia sebuah peranti kelas permulaan, Samsung Galaxy A03s dijual pada harga ₹11,499 (~RM655) untuk versi 3/32GB dan ₹12,499 (~RM712) untuk versi 4/64GB dalam warna hitam, putih serta biru.