Cari @ Amanz

Pandang Pertama Realme Book – Cubaan Pertama Yang Menjadi

Link Copied!

Mula mencipta nama sejak tahun 2018 lalu, jenama yang terkenal dengan tagline “Dare to Leap” iaitu Realme kini meneroka peluang baru lalu keluar daripada zon selesa. Melaluinya, mereka telah melakukan sesuatu yang baru dengan meneroka ke segmen komputer riba. Namun begitu, ini tidak bermakna bahawa tidak akan berusaha lebih untuk rangkaian produk sedia ada. Sebaliknya, perkara ini menunjukkan kematangan jenama berkenaan dalam mempelbagaikan portfolio supaya lebih berdaya saing.

Bermula dengan sekadar guraun April Fool, kemudian diikuti dengan ura-ura serta spekulasi tular. Akhirnya, siapa sangka Realme benar-benar menghasilkan komputer riba tersendiri. Lanjutan daripada itu, mereka telah melancarkan komputer riba pertamanya dikenali sebagai Realme Book. Ia hadir dengan rekaan yang ringan dan kompak. Di samping, pilihan CPU dan GPU yang berbeza. Di mana, model dengan CPU Intel-Core i3-1115G4 dipadankan dengan GPU Intel UHD Graphics. Sementara itu, model dengan CPU Intel-Core i5-1135G7 pula menggunakan GPU Intel Iris Xe.

Pada harga jualan bermula dari RM2,999 sebuah, pasti ramai yang ingin mengetahui apa lagi yang ditawarkan oleh Realme kepada pengguna menerusi cubaan pertama mereka ini? Patutkan komputer riba ini mampu menjadi antara ‘bucket list’ bagi pengguna masa kini? Baiklah, menerusi artikrl pandang pertama ini saya akan kupaskan serba ringkas mengenai komputer riba ini. Kalau mahukan yang lebih, anda perlu tunggu artikel ulasan penuh pula dalam masa terdekat.


Spesifikasi & Rekaan

Nama ModelRealme Book
Saiz Paparan14-inci LCD(IPS)
2K 2160 × 1440 piksel
Nisbah aspek 3:2
Tiada sokongan skrin sesentuh
PemprosesIntel Core™ i3-1115G4 Processor
Intel Core™ i5-1135G7 Processor
Cip GrafikIntel Iris Xe Graphics (i5)
Intel UHD Graphics (i3)
RAM8GB / 16GB DDR4
Muatan Dalaman256GB / 512 GB PCIe SSD
Kamera720p
Palam I/ORealme Book (i3)
USB-C 3.2 × 2 Gen 2
USB-A 3.1 Gen 1
Bicu audio 3.5mm

Realme Book (i5)
Thunderbolt 4/ USB 4
USB-C 3.2 Gen 2
USB-A 3.1 Gen 1
Bicu audio 3.5mm
HDMITiada
SekuritiImbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri54 Wh
65W Super-Fash Charge
30W Dart Charge
HargaRM2,999 (i3)
RM3,499 (i5)

Perkara pertama yang saya sedar sejurus selepas komputer riba dikeluarkan daripada kotak ialah saiz dan juga beratnya. Pandang pertama saya melihat ia adalah sebuah komputer riba yang ringan dan nipis. Dengan berat hanya sekitar 1.38kg, digabung pula dengan ketebalan hanya 14.9mm menjadikan ia sesuai dan mudah untuk di bawa ke mana saja tanpa sebarang bebanan berat. Ini boleh dikatakan selari dengan ekspektasi pengguna hari yang rata-rata lebih cenderung untuk memiliki komputer riba yang ringan dan tidak membebankan untuk pengalamana penggunaan lebih baik.

Selain daripada ringan dan nipis, saya juga melihat komputer riba ini bagus dengan rekaan yang minimalis bersama warna biru yang cukup elegan dan pasti menarik perhatian. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah nama saintifik untuk kemasan pada unit yang saya terima ini? Ini adalah Realme Book dalam warna Real Blue. Dapat dilihat, rona biru yang digunakan kelihatan pekat ke arah biru gelap dan menghiasi komputer riba ini secara keseluruhannya. Sebagai pilihan, terdapat juga tambahan warna lain iaitu Real Grey untuk tampil lebih professional.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada bahan aloi aluminium dengan kemasan pusam. Kecuali, bingkai pada paparan yang diperbuat daripada plastik. Rekaannya adalah kemas dan cantik pada hemat saya. Ia juga sedap dipegang di dalam tangan dan tidak terlalu memerangkap kotoran dengan mudah. Turut dapat dilihat, Realme berjaya membawa konsep kompak dan padat padanya, di samping binaan yang berkualiti. Engsel pada skrin juga cukup baik bagi memastikan ia tidak bergoyang ketika menaip. Usaha ini perlu diberi pujian.

Mungkin ada yang berpendapat ia tak sehebat mana kerana rekaannya kelihatan mirip seperti kebanyakan komputer riba biasa di pasaran. Namun, perlu diingatkan bahawa ini adalah cubaan pertama Realme dan tidak salah rasanya untuk kita memberi sedikit ruang kepada mereka melihat apa yang perlu ditambahbaik pada masa akan datang.

Daripada beberapa gambar yang dikongsi ini, dapat dilihat adanya logo Realme yang terukir pada bahagian penutup. Kemudian diikuti dengan sebuah pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa yang diletakkan bersebelahan papan kekunci. Tiga pelapik getah yang disertakan pada bahagian bawah komputer riba. Jika diteliti dengan baik, anda akan perasan adaya tulisan ‘Dare to Leap’ pada salah satu daripada pelapik getah berkenaan. Selain itu, terdapat juga dua kekisi audio untuk pembesar suara yang dioptimasikan dengan DTS Audio dan satu lohong pengudaraan untuk sistem penyejuk.

Sedikit komen ringkas mengenai pembesar suaranya. Kelantangan dan kejelasan audio amat bergantung kepada kehadiran permukaan keras untuk memantulkan semua audio ke telinga. Misalnya, permukaan meja yang rata. Di sini, ia mampu untuk memberikan pengalaman audio yang baik. Jika digunakan di atas permukaan lembut kualiti audio kedengaran seakan terperangkap dan tidak lantang. Realme Book juga dilengkapi dengan sistem penyejukan dengan dwi-kipas bertujuan memastikan pengaliran haba yang baik bagi membolehkan prestasi komputer riba berada pada tahap optimum, dalam masa sama tiada isu haba melampau yang berlaku.

Bergerak ke palam I/O, dapat dilihat di sini adanya sehingaa empat pilihan iaitu 1 x USB-A 3.1 Gen 1 dan bicu audio 3.5mm pada sisi kanan. Seterusnya, 1 x USB-C 3.2 Gen 2 dan port Thunderbolt 4 pula pada sisi bertentangan. Namun begitu, penawaran adalah sedikit berbeza untuk model i3 di mana, ia tidak disertakan dengan port Thunderbolt 4. Tetapi Realme menggantikannya dengan 2 x port USB-C 3.2 Gen 2. Cuma kurangnya, komputer riba Realme Book tidak menyertakan pembaca kad dan port HDMI.


Paparan

Beralih ke paparan hadapan, Realme Book menggunakan panel IPS LCD berukuran 14-inci dengan resolusi 2K atau lebih tepatnya 2520 x 1680 piksel bersama nisbah aspek 3:2. Di samping itu, ia juga menampilkan nisbah skrin-ke-badan yang tinggi mencecah 90% untuk pengalaman tontonan lebih mendalam. Di mana, lebih banyak kandungan boleh dilihat dalam satu paparan skrin. Tidak habis di situ, paparannya turut menyokong ciri tambahan lain seperti sokongan gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan puncak mencapai 400nits untuk pengalaman kandungan lebih jelas. Namun begitu, komputer riba ini tidak mempunyai sokongan skrin sesentuh mahupun kadar segar semula yang tinggi.

Dari segi penggunaan singkat, saya mendapati kualiti paparan adalah cukup baik dengan penghasilan semula warna yang memuaskan pada sudut tertentu. Skrin pada komputer riba Realme Book juga boleh dibuka rata mencapai 170 darjah. Pada kami, ia cukup baik dalam memberika kebebasan kepada pengguna itu sendiri untuk melarasnya ke suatu sudut yang lebih selesa. Seperkara lagi kalau anda perasan, sebuah kamera HD 720p turut boleh dilihat terletak elok pada bahagian atas skrin.


Perisian & Pengalaman

Seperti yang saya katakan dalam beberapa perenggan di atas. Realme Book didatangkan dengan pilihan CPU dan GPU yang berbeza. Untuk artikel ini, unit yang saya terima adalah Realme Book dengan CPU Intel Core i5-1135G7. Ia kemudiannya, dipadankan dengan grafik terbina Intel Iris Xe, memori 8GB RAM DDR4 dan storan dalaman 512GB PCIe SSD. Anda juga mempunyai satu lagi pilihan variasi yang dilengkapi CPU Intel Core i3-1115G4 bersama grafik terbina Intel UHD Graphics yang disertakan bersama-sama dengannya. Seterusnya, Realme Book menjalankan siste operasi Windows 10 dan ia akan menerima naik-taraf ke Windows 11 secara percuma pada masa akan datang.

Seperkara lagi yang menarik pada Realme Book adalah perisian PC Connect. Ia merupakan ciri baharu yang menggunakan konsep mirip seakan sebuah komputer riba Huawei. Di sini, ia membolehkan telefon pintar Realme anda dihubungkan secara terus ke komputer riba. Dengan ekosistem baharu daripada Realme ini, kini anda boleh melakukan pelbagai kerja dengan produktif dan efisien. Berikut adalah fungsi yang terdapat pada perisian PC Connect:

  • Access Phone App – Buka aplikasi mudah alih di telefon pintar terus daripada komputer riba
  • File Transfer – Pemindahan fail mudah dengan cara drag & drop dari satu peranti ke peranti yang lain.
  • Access Notification – Melihat sebarang pemberitahuan daripada telefon pintar secara terus daripada komputer riba. Ini termasuklah pemberitahuan untuk mesej tekas, panggilan masuk dan lain-lain.
  • Shared Clipboard – Ciri di mana membolehkan pengguna menyalin (copy) sesuatu kandungan bertulis pada telefon pintar. Kemudian, menampalnya (paste) pada komputer riba.

*Nota kaki: Buat masa ini, perisian PC Connect hanya menyokong model Realme GT Master Edition sahaja. Ia bagaimanapun, akan dikembangkan lagi ke model-model lain dari masa ke semasa.

Seterusnya, RealmeBook menggunakan papan kekunci bersaiz penuh. Penggunaan ringkas saya mencuba sendiri papan kekunci ini, ia terasa selesa untuk digunakan ketika menaip. Boleh dikatakan, saya tidak berhadapan sebarang isu untuk membiasakan diri dengannya. Seperti yang anda dapat lihat, ruang antara kekunci juga adalah baik bagi memastikan keselesaan ketika menaip. Seterusnya, ia juga mempunya fungsi ‘backlit’ atau lampu pada latar belakang papan kekunci yang sudah semestinya memudahkan proses menaip dalam gelap. Terdapat sehingga tiga mod kecerahan yang boleh anda laras dengan menekan pada butang kekunci F7.

Begitu juga dengan pad sesentuhnya, di mana tiada komen negatif daripada saya buat masa sekarang. Ia juga sama baik dan selesa untuk digunakan. Kemudian, saiznya juga kelihatan agak besar bersama permukaan licin yang lebih memudahkan gerakan jari. Seperkara lagi sebelum terlupa, saiz ruang untuk meletakkan tangan (palm rest) juga cukup memadai pada hemat saya.


Bateri

Realme Book dibekalkan bateri sebesar 54Wh dan ia dikatakan boleh beroperasi mencapai 11 jam lamanya. Namun begitu, waktu penggunaan ini sudah semestinyalah berbeza-beza bergantung pada jenis kegunaan pengguna itu sendiri. Berbalik semula pada bateri, ia turut menyokong pengecasan pantas 65W Super-Fast Charge, yang mana Realme mendakwa ia boleh mengecas komputer riba mencapai 50% dalam hanya 30 minit sahaja. Bukan itu sahaja, ia juga menyokong pengecasan pantas 30W Dart Charge yang boleh digunakan untuk sebarang telefon pintar atau produk lain Realme dengan port sambungan USB-C.


Kesimpulan

Ini adalah percubaan kali pertama Realme dalam menghasilkan komputer riba. Boleh dikatakan, ia juga adalah percubaan pertama yang menjadi. Pada kami, Realme Book mempunyai penawaran yang menarik untuk diihat dan juga digunakan oleh kebanyakan pengguna. Cuma, mungkin masih ada sebahagian yang boleh ditambah-baik untuk masa akan datang. Baiklah, sekian sahaja pandang pertama Realme Book untuk artikel kali ini.

Saya akhiri artikel ini dengan beberapa persoalan seperti mampukah prestasi Realme Book mencapai ekspektasi pengguna hari ini? Seterusnya, apakah isu yang mungkin ada padanya? Persoalan-persoalan ini akan saya jawab dalam artikel ulasan penuh akan datang yang akan diterbitkan dalam masa terdekat ini.


Komen ()