Selain Samsung Galaxy Z Fold3 5G, Samsung Galaxy Z Flip3 5G turut dilancarkan. Strategi Samsung tahun ini ialah melancarkan peranti dua skrin boleh-lipat serentak dengan spesifikasi hampir sama tetapi saiz yang berbeza. Jika Z Fold3 menyasarkan pengguna yang ingin melakukan kerja ketika di luar, Z Flip3 ialah peranti yang menyasarkan pengguna yang ingin bergaya.
Kekuatan sebenar peranti tahun ini ialah rekaan yang jauh lebih menarik, kompak, tahan lasak, kalis air dan mesra pengguan dengan pengenalan skrin sekunder yang lebih besar. Tanpa membuang masa ingin saya katakan Z Flip3 ialah peranti skrin boleh-lipat yang dinantikan selama ini.
Ia menyelesaikan beberapa isu besar pada Z Flip dan Z Flip 5G dan pada waktu yang sama ditawarkan pada harga yang membuatkannya menjadi pilihan lebih logikal apabila dibandingkan dengan peranti pintar mercu lain di pasaran. Saya akan terangkan kepada anda mengapa saya percaya ini ialah THE ONE seperti Neo dari filem The Matrix dalam artikel ulasan ini
Spesifikasi
Samsung Galaxy Z Flip3 5G | |
---|---|
Skrin | Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+ Luar – 1.9″ SAMOLED |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 888 (5nm) |
Cip | 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 |
Cip Grafik | Adreno 660 |
RAM | 8GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.2, OIS |
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman | 10 Megapixel f/2.4 |
Bateri | 3300 mAh Pengecasan berwayar 15W Pengecasan nirwayar 10W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IPX8 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM 3999/4199 |
Skrin
Skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X boleh lipat adalah lebih besar dari disangka kerana ia lebih tinggi dari lebar. Nisbah skrin adalah 22:9 yang lebih tinggi berbanding 21:9 pada Xperia 1 II yang saya ulas tahun lalu. Ini adalah nisbah skrin yang amat mencabar kerana lebih tinggi dari normal. Sungguhpun begitu tidak perlu risau kerana mod sebelah tangan yang diakses dengan menekan butang home sebanyak 3 kali boleh diakses pada bila-bila masa sekiranya terasa terlalu canggung. Cara memegang peranti ini memerlukan anda mengubah tabiat lama untuk membuatkan penggunaan lebih selesa.
Perubahan dengan teknologi tahun lalu ialah sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz secara adaptif. Skrin memaparkan pergerakan yang lancar tetapi pada waktu yang sama mengurangkan penggunaan bateri kerana kadar segar semula diubah secara dinamik. Di bawah cahaya mentari yang terik saya rasakan ia masih tidak sebaik yang boleh dinikmati pada Galaxy S21 Ultra walaupun kedua-duanya dari keluarga Dynamic AMOLED 2X. Saya masih tidak boleh sarankan penggunaannya di bawah mentari yang kuat walaupun pada keterangan maksimum.
Ini adalah isu yang turut saya temui berlaku pada Z Fold yang juga sedang diulas di makmal peranti Amanz. Berita baiknya ialah kita masih lagi di dunia pandemik dan boleh dikatakan peranti di tangan 99% digunakan di dalam tempat tertutup.
Masih terdapat lubang skrin tetapi tidak mendatangkan masalah apabila mendengar ulasan teknologi kamera bawah skrin UDC Samsung yang masih belum cukup memuaskan pada waktu ini. Penggunaan lubang kamera adalah perjudian yang munasabah dilakukan oleh Samsung tahun ini.
Bagaimana pula dengan lipatan pada skrin? Ini ialah soalan yang paling banyak saya terima di media sosial. Ya lipatan masih lagi kelihatan pad lapisan Ultra Thin Glass yang digunakan. Berita baik yang boleh saya berikan ialah ia tidak akan disedari ketika menggunakan peranti. Ia hanya kelihatan jelas apabila dilihat pada sisi atau kandungan yang ditonton mempunyai latar belakang berwarna putih. Seperti takuk gergasi di skrin iPhone 12, kesan lipatan pada skrin ini akan hilang dari pemandangan selepas peranti digunakan selama sehari. Ia adalah the price to pay untuk teknologi skrin boleh-lipat Samsung pada waktu ini.
Penghasilan semula warna adalah baik. Saya tidak mengesan isu color banding walaupun pada kandungan HDR. Nampak jelas dan terang seperti pada skrin peranti mercu lain yang saya ulas tahun ini. Kelebihan skrin jauh lebih banyak berbanding kekurangan setakat ini.
Skrin luar 1.9″ AMOLED adalah lebih dua kali ganda lebih besar berbanding skrin tahun lalu. Ia menjadikannya lebih berguna. Samsung membawakan sokongan widget yang lebih baik seperti sokongan mengawal muzik, paparan notifikasi lebih besar, paparan cuaca, Samsung Health dan aplikasi merekod audio. Notifikasi boleh dipaparkan tetapi ciri menjawab mesej terus pada skrin kecil tidak diberikan. Pengguna masih perlu membuka telefon terlebih dahulu.
Ciri menggunakan skrin luar sebagai viewfinder kamera swafoto turut dikekalkan dan menjadi lebih mudah berbanding Z Flip 5G kerana skrin yang lebih besar. Pengguna boleh mengubah kepada mod video atau gambar dengan menatal skrin ke kiri atau ke kanan. Lensa sudut lebar pula boleh diubah dengan menatal atas ke bawah. Saya akan membincangkan lagi penggunaan kamera secara lebih mendalam di segmen kamera di bawah nanti.
Rekaan
Rekaan tahun ini lebih rata, padat, nipis dan tahan lasak. Dengan sisi yang rata memegang peranti terasa lebih sedap dan selamat di dalam tangan. Luas permukaan yang lebih besar bersentuh dengan kulit dipadankan pula dengan kemasan yang tidak berkilat membuatkan peranti tidak terasa licin di dalam tangan. Kalau terjatuh sekalipun, Samsung berkata teknologi Armor Aluminium yang digunakan lebih tasak.
Saya tidak mencuba sendiri sama ada ini benar ataupun tidak kerana peranti yang digunakan adalah unit pinjaman. Yang boleh saya katakan ialah selepas seminggu di dalam poket, diletakkan di atas meja dan digunakan tanpa kerangka (tiada kerangka percuma dalam kotak tahun ini) permukaan luaran Z Flip3 masih lagi tiada sebarang kesan calar.
Perubahan turut dilakukan pada engsel yang melipat lebih kecil bagi membolehkan peranti menjadi lebih nipis dalam posisi tertutup. Tetapi perubahan yang penting pada hemat saya ialah ketahanan kalis air IPX8 yang diberikan tahun ini. Syukur kepada ilahi kerana kekurangan paling nyata peranti boleh lipat diselesaikan Samsung. Saya cukup takut menggunakan Z Flip tahun lalu keran di Malaysia bila-bila masa sahaja hujan boleh turun. Agak malang jika hujan turut secara tiba-tiba menyebabkan Z Flip yang dijual pada harga RM5888 mengalami kerosakan akibat dimasuki air.
Butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan. Sebuah pengimbas cap jari fizikal turut diletakkan pada butang kuasa. Proses imbasan adalah amat pantas setanding dengan sistem pengecaman wajah yang turut masih disertakan. Bercakap mengenai sistem pengecaman wajah ia hanya berfungsi dalam situasi pencahayaan yang baik kerana tiada kamera infra merah disertakan.
Kembali kepada butang kuasa dan laras suara – kedua-duanya mempunyai binaan yang tegap kerana diperbuat daripada log. Tetapi saya rasakan kedudukan kedua-duanya terlalu tinggi jika dibandingkan pada peranti candybar biasa. Saya perlu belajar semula mencari lokasi butang kerana ianya agak canggung. Alangkah baiknya jika terdapat lekuk/longkang yang lebih dalam untuk butang kuasa seperti yang digunakan pada Oppo A94 5G misalnya.
Tetapi pujian masih ingin saya berikan pada Samsung kerana dalam posisi tertutup, butang laras audio diterbalikkan mengikut orientasi skrin luar untuk mengubah kelantangan audio yang sedang didengari. Amat berguna bagi mereka yang ingin mengubah kelantangan muzik yang didengari tanpa perlu membuka peranti terlebih dahulu.
Talam SIM diletakkan pada sisi kiri. Hanya satu SIM nano disokong tanpa slot untuk kad mikro SD atau SIM sekunder. Jika dua perkhidmatan selular ingin digunakan, pengguna perlu menggunakan eSIM. Tiada lagi sokongan mikro SD mungkin mengecewakan sesetengah pihak tetapi realitinya Samsung sudah tidak menawarkannya pada peranti mercu sejak tahun lalu.
Peranti dilengkapi cip Qualcomm Snapdragon 888 dipadankan dengan memori 8GB LPDDR5 RAM dan storan sehingga 256GB. Hanya cip Snapdragon 888 digunakan di seluruh dunia. Tiada isu peranti yang sama dengan cip berbeza kali ini seperti yang dilakukan pada siri Galaxy S dan Galaxy Note. Ini ialah cip yang sama juga seperti yang digunakan pada Galaxy Z Fold3. Oleh itu antara cip paling berkuasa untuk Android digunakan pada peranti yang bersaiz padat.
Setakat ini Z Flip3 tidak mengecewakan tetapi kekurangan dapat dilihat pada spesifikasi kamera. Sensor 12+12 MP digunakan pada kamera utama dengan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar serta kamera swafoto 10MP. Ini ialah konfigurasi kamera yang sama seperti model tanpa lalu tanpa sebarang perubahan.
Kesemua komponen yang berkuasa ini dimasukkan ke dalam tubuh bersaiz 86.4 x 72.2 x 15.9-17 mm apabila tertutup dan 166 x 72.2 x 6. mm apabila dibuka dengan berat 183` gram. Z Fold3 adalah lebih kecil dan lebih ringan jika dibandingkan dengan Z Fold2.
Penggunaan Dan Perisian
Penggunaan adalah lebih mirip menggunakan telefon pintar mercu Samsung seperti Galaxy S21 Ultra berbanding Z Fold3. Dalam posisi terbuka kesemua ciri adalah sama. Terdapat sokongan kawalan menggunakan talam navigasi ataupun gestur. Side Panel juga disertakan sekali dengan pelbagai ciri tambahan untuk pautan pantas ke aplikasi, lampu suluh dan memasangkan dua aplikasi sekali secara Split View.
Cuma yang menjadi isu seperti yang saya telah katakan di awal artikel ini ialah skrin lebih tinggi dari biasa. Pengguna perlu membiasakan kedudukan tangan dan jari untuk mengakses sudut yang sukar dicapai dengan penggunaan sebelah tangan. Bagi mereka yang mengalami kesukaran, mod satu tangan Samsung boleh membantu dengan mengecilkan paparan skrin. Cara mengaksesnya sama seperti pada peranti Samsung yang lain iaitu dengan menekan butang home sebanyak tiga kali.
Walaupun skrin memanjang menimbulkan sedikit isu kemesraan pengguna, ia turut memberikan beberapa kelebihan. Pertama sekali apabila melancarkan dua aplikasi serentak dengan Split View, saiz tingkap yang digunakan adalah lebih besar. Pada kedudukan mendatar pula, menonton filem dengan nisbah skrin memanjang terasa lebih semula jadi. Contohnya menonton filem Mad Max Fury Road dan Death Race pada nisbah penuh tanpa palang hitam adalah memuaskan.
Lebih memuaskan ialah memainkan permua FPS seperti COD Mobile dan PUBG Mobile. Peranti memaparkan permainan pada nisbah ultra lebar seperti monitor gaming. Jari diletakkan di hujung kiri dan kanan skrin berjauhan dari bahagian tengah. Dalam permua FPS ini mengelakkan jari menghalang objek dalam permainan. Rasa lebih mudah memburu musuh dengan jari bukan lagi penyebab musuh hilang dari pandangan.
Saya ingin menyentuh sedikit mengenai skrin luar. Memang menarik pelbagai widget dan aplikasi boleh dikawal menggunakannya tetapi ia tidak boleh digunakan untuk terus membalas mesej. Jika mesej WhatsApp diterima misalnya, anda boleh membacanya tetapi untuk menjawab skrin masih perlu dibuka. Ini kekurangan yang paling ketara kerana ciri ini telah disokong pada Motorola RAZR sejak tahun lalu lagi.
Tiada ada kejutan dalam penggunaan langsung. Kesemuanya berfungsi seperti yang dijangkakan. Samsung menyertakan pelbagai ciri tambahan seperti kawalan peranti berhubung SmartThings terus dari talam notikasi, melancarkan dua aplikasi dengan log akaun berbeza, mengunci aplikasi dengan sistem biometri dan mod untuk kanak-kanak. Pendek kata apa yang boleh anda nikmati pada Galaxy S21 Ultra boleh juga dinikmati pada Z Flip3. Tiada perbezaan kasta antara dua peranti mercu ini kecuali tiada sokongan stylus S Pen dan Flex Mode yang eksklusif pada peranti boleh lipat Samsung pada waktu ini.
Menatal terasa lancar kerana skrin 120Hz yang digunakan. Apabila menjalankan jari pada bahagian tengah skrin masih dapat dirasakan longkang yang wujud di tengah-tengah. Ia tidak lagi menakutkan bagi saya kerana sudah mengulas kesemua peranti boleh-lipat yang dipasarkan sebelum ini.
Jadi adakah perbezaan menggunakan telefon skrin boleh-lipat? Sebenarnya tiada dan ini ialah yang sepatutnya berlaku untuk peranti dengan form factor Z Flip3. Ia hanya sebuah telefon candbybar yang boleh dilipat supaya mempunyai saiz lebih kecil. Tiada kecanggungan kecuali perlu membiasakan diri dengan skrin yang lebih tinggi dari biasa.
Penanda Aras
Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah seperti di bawah. Ia adalah setanding dengan markah peranti lain yang menggunkan Snapdragon 888. Prestasi menjalankan permua adalah baik tanpa sebarang isu. Masa diambil untuk memproses video juga adalah amat pantas. Isu yang wujud hanyalah peranti menjadi panas ketika memainkan permua bergrafik tinggi dan melalukan pasca-proses gambar yang diambil. Ini ialah isu yang wujud pada semua peranti dengan Snpdragon 888 tahun ini. Peranti boleh menjadi kurang selesa di dalam tangan untuk sesi permua yang lama.
Telefoni dan GPS
Terdapat sokongan rangkaian 5G tetapi ini tidak mampu saya uji kerana belum ditawarkan di Malaysia. Panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE dan panggilan menggunakan WiFi kualiti panggilan saya rasakan adalah lebih baik dan jelas. Sokongan untuk dwi SIM disertakan tapi hanya satu fizikal bersaiz nano dan satu lagi dalam bentuk eSIM.
Prestasi GPS juga amat pantas seperti peranti Samsung mercu lain yang diuji sebelum ini. Aplikasi Waze dan Maps apabila digunakan dapat menjejak lokasi kenderaan dalam masa kurang dua saat. Ketika memandu pula tiada isu secara tiba-tiba kehilangan isyarat atau lokasi yang salah ditunjukkan dalam aplikasi. Sebagai telefon ialah bagus sebagai peranti GPS ia cemerlang.
Kamera
Sistem kamera dari Z Flip 5G dikitar semula untuk tahun 2021. Ini bermakna sensor 12MP f/1.8 lensa sudut lebar dipadankan dengan sensor 12MP f/2.2 lensa ultra sudut lebar. Hanya lensa sudut lebar dilengkapi sistem OIS. Pada bahagian hadapan pula sensor 10MP f/2.4.
Kamera hanya menyokong zum secara digital sehingga 10X. Jika dibandingkan dengan Z Fold3 atau Galaxy S21 Ultra memang spesifikasi kamera Z Flip3 adalah lebih rendah. Tetapi saya tergolong dalam kategori pengguna yang lebih mementingkan sistem kamera asas yang baik tanpa perlu bonggol gergasi yang ditemui pada Z Fold3 dan Galaxy S21 Ultra. Pada hemat saya rekaan Z Flip3 yang bersih dan nipis adalah lebih penting dari kemampuan zum sehingga ke permukaan bulan
Kemampuan rakaman video adalah sehingga 4K 60FPS pada kamera utama dan 4K 30FPS pada kamera hadapan. Sekali lagi lebih rendah berbanding 8K 24FPS pada Galaxy S21 Ultra. Tetapi sebagai pengguna Galaxy S21 Ultra, ciri rakaman 8K saya gunakan mungkin dua kali semasa mengulasnya sahaja kerana mengambil storan yang besar serta tidak sebaik 4K 60FPS pada waktu ini. Kemampuan kamera Z Flip3 saya kategorikan sebagai all killer no filler. Tiada gimik dan hanya yang perlu sahaja.
Kualiti gambar yang diambil adalah amat memuaskan untuk sistem kamera yang sudah berusia setahun. Sistem HDR pantas mengimbangi kawasan terang dengan gelap. Tiada isu sumber cahaya menghasilkan kawasan dengan dedahan melampau atau penghasilan warna yang jauh menyimpang. Secara peribadi saya lebih gemarkan hasil gambar Z Flip3 berbanding Galaxy S21 Ultra.
Saya merasakan sensor yang besar gedabak adalah bagus untuk pengiklanan tetapi sensor 12MP yang dioptimasikan dengan lensa yang sesuai menghasilkan gambar yang lebih sedap mata memandang. Kamera lebih pantas mengambil gambar kerana tiada buffer memori dari sensor besar. Mod malam juga terang dengan hingar yang tidak berapa ketara. Adakah sistem kamera Z Flip3 terbaik di pasaran sekarang? Jawapannya tidak. Adakah ia memuaskan untuk 90% penggunaan harian? Jawapan ikhlas saya ialah ya. Sampel gambar adalah seperti di bawah.
Kelemahan terletak pada sistem zum digital. Gambar yang baik hanya bolehd diambil sehingga tahap 4X sahaja. Pada tetapan 10X zum gambar yang diproses kelihatan seperti lukisan abstrak. Saya tidak sarankan Z Flip3 digunakan untuk mengambil gambar objek yang jauh.
Bateri
Bateri 3300 mAh dipadankan dengan skrin 6.7″ 120Hz. Di atas kertas ini ialah kombinasi yang sangat merisaukan dan ia dimanifestasi ke prestasi dunia sebenar yang mengecewakan. Dalam penggunaan biasa saya hanya mampu mendapatkan SOT sehingga 6.5 jam sahaja dengan peranti bertahan selama 19 jam. Hayat penggunaan yang lebih lama sekitar 31 jam dapat dinikmati tetapi dengan SOT sekitar 4 jam sahaja. Kelemahan paling ketara Z Flip3 ialah bateri sama seperti yang berlaku pada Z Flip 5G tahun lalu.
Sistem pengecasan yang disokong pula hanyalah 15W yang memerlukan 90 minit untuk mengecas bateri sepenuhnya. Ini ialah masa mengecas yang lebih perlahan berbanding 80 minit yang boleh dilakukan oleh Galaxy S21 Ultra dengan bateri 5000 mAh. Penggunaan sistem kamera tahun lalu boleh saya maafkan tetapi saiz bateri yang kecil dengan pengecasan yang perlahan mengikut standard 2021 adalah mengecewakan
Audio
Audio pula adalah lebih baik dari yang disangka kerana wujudnya sokongan stereo dan Dolby Atmos. Sedikit kurang seimbang kerana speaker bawah menembak ke sisi. Untuk melakukan panggilan telefon (dengan skrin tidak dibuka) audio yang dihasilkan cukup lantang dan jelas. Tidak pecah-pecah sehingga saya lebih gemar menjawab telefon tanpa membuka skrin terlebih dahulu. Tiada bicu audio 3.5mm tetapi tambatan bluetooth menyokong codec SBC, AAC dan LDAC. Jika anda mempunyai aksesori audio yang menyokong audio resolusi tinggi, sistem audio Z Flip3 adalah memuaskan.
Pesaing
Tiada pesaing sebenar kepada Z Flip3 tetapi saya rasakan Sony Xperia 5 III dan iPhone 12 Mini adalah serasi kerana ketiga-tiganya bersaiz kompak, dilengkapi kamera 12MP dan mempunyai kapasiti bateri yang agak kecil.
Samsung Galaxy Z Flip3 5G | Sony Xperia 5 III | iPhone 12 Mini |
6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2400, 120Hz (426 ppi) | 6.1″ OLED, 1080 x 2520, 120Hz (449 ppi) | 5.4″ Super Retina XDR OLED, 1080 x 23400, Dolby Vision, 60Hz (476 ppi) |
Snapdragon 888 (5nm) 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 | Snapdragon 888 (5nm) 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 | Apple A14 Bionic (5nm) 2 X 3.1 GHz Firestorm 4 X 1.8 GHz Icestorm |
Adreno 660 | Adreno 660 | Apple GPU |
8 GB LPDRR5 | 6 GB LPDRR4X | 4 GB |
128/256 GB UFS 3.1 | 256 UFS 3.1 mikro SD 1TB | 64/128/256 GB NVMe |
Kamera Utama 12+12 Megapixel (f/1.8+f/2.2) OIS | Kamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.7+f/2.3+f/2.4) OIS | Kamera Utama 12+12 Megapixel (f/1.6+f/2.4) OIS |
Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 8-Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 |
IPX8 | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
3300 mAh (Berwayar 15W) | 4500 mAh (Berwayar 30W) | 2227 mAh (Berwayar 20W) |
Harga bermula RM 3999 | Harga RM4599 | Harga bermula RM3399 |
Kesimpulan
Samsung Galaxy Z Flip3 5G ialah peranti skrin boleh-lipat tahun ini yang paling mampu milik dengan harga bermula dari RM3999 yang 32% lebih murah berbanding harga jualan Z Flip (RM5888) tahun lalu dan hanya sedikit lebih mahal berbanding Galaxy S21 (RM3699) semalam dilancarkan Januari lalu.
Dengan harga yang secara relatifnya lebih murah berbanding peranti mercu yang lain dengan rekaan lebih konvensional, saya merasakan Z Flip3 ialah peranti boleh-lipat yang dinanti-nantikan selama ini. Tidak terlalu mahal, mempunyai prestasi sebaik peranti konvensional dan mempunyai rekaan yang pastinya menarik perhatian.
Samsung membuktikan peranti dengan rekaan sebegini boleh ditawarkan pada harga yang lebih munasabah. Selepas ini peranti yang lebih murah pastinya akan muncul dipasarkan kerna inilah yang berlalu sebelum ini. Z Flip3 ialah peranti yang saya rasakan akhirnya memulakan revolusi penggunaan peranti boleh-lipat.
Peranti memang amat cantik di dalam tangan dalam posisi terbuka dan tertutup. Sepanjang tempoh ulasan saya ditegur dan ramai bertanya “telefon apa tu”. Ramai yang terkejut dengan wujudnya peranti boleh-lipat seperti Z Flip3 dan lebih terkejut dengan harganya. Isu tidak kalis air diselesaikan tahun ini dengan sokongan perisian lebih baik dan skrin 120Hz yang melancarkan penggunaan. Skrin luaran yang lebih besar juga membolehkan lebih banyak perkara dilakukan tanpa skrin dibuka.
Tetapi masih ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik untuk menjadikan Z Flip4 peranti yang lebih sempurna seperti bateri yang lebih besar, sistem pengecasan lebih pantas, kamera yang dipertingkatkan lagi dan skrin yang lebih terang di bawah cahaya matahari yang terang. Saya dengan mudah menyarankan Samsung Galaxy Z Flp3 5G kepada mereka yang inginkan peranti yang lain dar yang lain atau sudah bosan dengan rekaan candybar yang pelanduk dua serupa.
Pro
- Rekaan yang bukan sahaja kemas tetapi amat menarik perhatian.
- Kalis air IPX8
- Skrin luar yang lebih berguna kerana lebih besar.
- Spesifikasi mercu yang tidak mengecewakan.
- Kemampuan kamera yang baik.
- Harga jualan yang tidak lagi melampau.
Kontra
- Bateri berkapasiti kecil yang tidak bertahan lama.
- Sistem pengecasan 15W yang perlahan untuk peranti mercu.
- Sistem kamera dikitar semula.
- Skrin luar tidak boleh digunakan untuk membalas mesej.