Cari @ Amanz

Siri Kad Grafik Intel Arc Alchemist Akan Tiba Ke Pasaran Menjelang Suku Pertama 2022 Kelak

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sektor kad grafik kelas pengguna dilihat akan semakin rancak pada tahun hadapan apabila Intel melancarkan siri kad grafik mereka sendiri, yang dinamakan Intel Arc Alchemist.

Beberapa hari lalu, Intel mengesahkan bahawa mereka mempunyai peta tentang siri kad grafik HPG Xe mereka, yang setakat ini terdiri daripada Alchemist, Battlemage, Celestial dan Druid, yang mana Alchemist ialah nama samaran untuk cip pemprosesan grafik Intel DG2 yang sudahpun diperlihatkan sebelum ini.

Intel baru-baru ini mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri kad grafik Arc Alchemist ini pada suku pertama tahun hadapan, dan telah memperlihatkan beberapa butiran mengenai kad grafik tersebut yang akan membuatnya pesaing yang agak sengit menentang AMD dan juga NVIDIA.

Kad grafik Arc Alchemist ini dibina dengan sokongan untuk API grafik seperti DirectX12 Ultimate dan kebolehan mengolah grafik pada tahap tinggi pada resolusi QHD dan 4K pada tetapan yang tinggi. Ujian cip grafik Intel DG2 (sebelum ia dikenali sebagai Arc Alchemist) menunjukkan bahawa kad grafik ini dengan spesifikasi penuhnya mampu bertanding dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070, yang boleh dikatakan satu kejayaan yang agak baik untuk sebuah syarikat yang membangunkan kad grafik pertama mereka.

Dari segi spesifikasi, apa yang diberitahu mengenai cip grafik ini ialah ia dilengkapi dengan cip grafik Intel Xe serba baru yang dilengkapi dengan 16 enjin vektor and 16 enjin matriks. Bukan itu sahaja, cip pemprosesan grafik ini akan hadir dengan sokongan untuk teknologi grafik Ray-tracing daripada DirectX dan Vulkan.

Intel turut memperkenalkan teknologi Xe SS ataupun Xe Super Sampling yang membolehkan kad grafik ini menggerakkan permainan pada resolusi lebih tinggi menggunakan gabungan resolusi rendah, tetapan grafik tinggi dan juga kecerdasan buatan. Bukan itu sahaja, kad grafik ini juga akan menggunakan tenaga lebih rendah untuk menggerakkan permainan pada resolusi tersebut.

Intel juga mengatakan bahawa kit pembangunan perisian (SDK) Intel Xe SS akan tiba untuk pembangun permainan bermula bulan ini supaya sokongan untuknya pada permainan-permainan komputer moden akan tiba apabila siri kad grafik ini diperkenalkan pada tahun hadapan.

Lebih menarik lagi, Intel turut mengesahkan bahawa cip pemprosesan grafik ini akan dibina oleh TSMC menggunakan nod 6nm oleh TSMC. Ini boleh dikatakan kali pertama Intel menggunakan khidmat syarikat luar untuk mengilangkan sebuah cip pemprosesan utama.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi berapa model kad grafik yang Intel akan lancarkan dibawah nama Arc Alchemist ini, tetapi seperti yang dikatakan sebelum ini, sektor kad grafik pengguna akan menjadi lebih rancak lagi apabila Intel mengumumkan penawaran mereka secara rasmi pada tahun hadapan.


Komen ()