Cari @ Amanz

Microsoft Mengemaskini Windows 11 Untuk Program Windows Insider Dengan Versi Terbaru – Kini Hadir Dengan ISO Pemasangan Rasmi

Oleh Nazrin

Link Copied!

Beberapa bulan yang lalu, Microsoft memperkenalkan sistem operasi akan datang mereka, Windows 11 yang memperlihatkan sejumlah kemaskini dan penaiktarafan besar dari segi rekaan dan penggunaan.

Sistem operasi tersebut kini masih lagi berada didalam fasa ujian dan sedang diuji oleh pembangun Microsoft dan pengguna didalam program Windows Insider. Microsoft baru-baru ini memperkenalkan kemaskini Preview Build 22000.160 yang menjanjikan penggunaan sistem operasi yang jauh lebih stabil berbanding dengan versi Windows 11 sebelum ini.

Dalam versi Windows 11 ini, Microsoft memperkenalkan aplikasi Clock baru yang turut memperkenalkan ciri bernama Focus Sessions yang membolehkan anda untuk menjeda notifikasi emel, laman web dan sebagainya bergantung kepada keperluan anda.

Microsoft juga memperlihatkan fungsi baru dimana mereka akan memberi jangkamasa yang diperlukan untuk memasang kemaskini baru pada sistem operasi. Ini membolehkan pengguna untuk menjangka berapa lama mereka perlu menunggu untuk memasang kemaskini pada sistem operasi, samada ia hanya sekejap atau akan mengambil masa yang lama. Buat masa ini fungsi ini dihadkan kepada komputer yang menggunakan storan SSD sebagai storan utama. Untuk komputer yang menggunakan cakera keras, fungsi ini akan tiba semula apabila ia sedia ditawarkan.

Dengan versi Windows 11 terbaru ini, Microsoft juga akhirnya memperkenalkan fail ISO kendiri Windows 11 yang membolehkan pengguna untuk membuat pemasangan sistem operasi secara bersih pada mana-mana komputer yang melepasi spesifikasi yang diperlukan.

Sebelum ini, pemasangan Windows 11 hanya boleh dilakukan melalui pendaftaran Windows Insider dan kemudian memuat-turun fail yang diperlukan melalui menu tetapan dalam komputer, tetapi dengan pelancaran ISO ini, kita dapat melihat rekaan UI pemasangan sistem operasi ini dengan lebih mendalam buat pertama kalinya.

Perlu diingatkan bahawa fail ISO ini akan memasang Windows 11 versi 22000.132 yang kemudiannya perlu dikemaskini ke versi yang lebih baru. Microsoft juga telah menyenaraikan sejumlah isu yang diketahui buat masa ini, dan akan diperbaiki melalui kemaskini baru sepanjang tempoh ujian sistem operasi ini.

Sumber: Windows Blog


Komen ()