Cari @ Amanz

Isu pemanasan peranti sehingga kamera gagal berfungsi pernah menjadi topik hangat selepas Snapdragon 821 dilancarkan. Semua peranti dengan cip ini akan memberhentikan rakaman video secara mengejut apabila suhu meningkat. Selepas enam tahun, isu pemanasan kini muncul semula pada Google Pixel 5a 5G yang baru dilancarkan.

Menurut Androd Police, beberapa pengulas awal melaporkan isu Pixel 5a memaparkan amaran peranti terlalu panas ketika melakukan rakaman video 4K 60FPS selepas hanya beberapa minit. Ini menyebabkan hanya rakaman video pendek sahaja boleh dilakukan. Isu ini agak memalukan kerana peranti lain yang menggunakan Snapdragon 765G tidak pula menghadapi masalah yang sama.

Jelas sistem penyejukan pada Pixel 5a tidak mampu menyebarkan haba dengan sempurna sehingga pemanasan seperti ini boleh berlaku. Lebih merisaukan isu berlaku di negara barat dengan suhu sekitar 21 darjah Celsius. Tidak diketahui apa akan berlaku jika peranti digunakan di negara lebih panas seperti Malaysia. Google belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu pemanasan ketika rakaman video ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd