Terdapat banyak fon kepala nirwayar di pasaran sekarang dengan ciri menarik seperti audio spatial dan sokongan kawalan terbina pada cawan telinga. Audio-Technica ATH-M50xBT2 ialah fon telinga nirwayar terbaru dari Audio-Technica dan syarikat ini tidak langsung mempedulikan trend semasa sebaliknya memberikan tumpuan kepada audio semata-mata.

ATH-M50xBT2 mengekalkan rekaan klasik fon kepala Audio-Technica ATH-M50x yang boleh diklasifikasikan sebagai retro klasik. Logo syarikat terpampang jelas pada kedua-dua cawan telinga yang diperbuat daripada plastik. Pemandu audio sebesar 45mm digunakan dan dibantu oleh DAC serta amplifier terbina bagi memberikan kualiti audio yang terbaik. Terdapat mikrofon bagi membolehkan pengguna menjawab panggilan telefon.
Dalam mod nirwayar, codec LDAC dan AAC disokong. Sokongan secara berwayar juga boleh dilakukan menggunakan kabel 3.5mm sepanjang 1.2 meter yang disertakan dengan setiap pembelian. Terdapat butang fizikal untuk menyeru pembantu maya Google Assistant atau Apple Siri, butangkuasa dan laras audio pada cawan telinga.

Bagi pengguna Android, fon kepala menyokong ciri Google Fast Pair mempermudahkan proses tambatan. Fon kepala juga boleh ditambat kepada dua peranti serentak bagi memudahkan pengguna menjawab panggilan telefon ketika ia ditambat kepada sebuah komputer misalnya.
Kekuatan sebenar ATH-M50x ialah bateri yang mampu bertahan sehingga 50 jam. Ini dicapai kerana ATH-M50x tidak mempunyai sebarang sistem pembatalan hingar ANC. Amat berbeza dengan pengeluar lain yang kini merasakan ANC ialah ciri yang perlu. Sepasang Audio-Technica ATH-M50xBT2 dijual pada harga £179.99 (~RM1039)