Kekal Selamat Ketika Berbelanja Dalam Talian Dengan 3 Tips Mudah Ini

Diterbitkan pada Ogos 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seiring peredaran teknologi, masyarakat kita hari ini lebih terbuka dan selesa untuk beralih arah kepada medium pembelian serta transaksi secara dalam talian. Mana tidaknya, ia dilihat lebih memudahkan segala urusan berbanding perlu keluar semata-mata untuk menuju ke kedai secara fizikal. Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, bahkan ia mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada diri mahupun insan tersayang.

Namun begitu, terdapat juga risiko tertentu yang perlu diambilkira seperti penipuan kewangan atau scammer dalam talian. Memang tidak boleh dinafikan bahawa aduan kes penipuan dalam talian semakin menjadi-jadi. Malah, CyberSecurity Malaysia sendiri mengesahkan peningkatan ketara sebanyak 82.5% laporan dicatatkan sepanjang tempoh PKP tahun lalu.

Peningkatan tersebut jelas menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka terhadap kegiatan tidak bermoral ini. Boleh dikatakan acap kali kita mendengar dan melihat isu ini terpampang di dada akhbar dan media elektronik. Di samping itu, kempen-kempen pencegahan juga turut diadakan pada masa yang sama. Jadi, sepatutnya perkara ini semakin berkurang, tetapi hal sebaliknya pula yang berlaku. Jadi, dimana silapnya? Lebih baik, berhenti salahkan sesiapa, ini tanggungjawab kita bersama.

Dalam situasi begini, sesiapa sahaja perlu lebih peka ketika melakukan sebarang urusan atas talian. Jangan mudah percaya dengan apa yang dilihat di depan mata. Tetapi, sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Ini termasuklah apa jua bentuk atau transaksi kewangan bagi memastikan segala proses urusan jual beli berjalan lancar dan seiring dengan prosedur sepatutnya. Langkah ini juga boleh membantu anda mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kes penipuan.

Bukan apa, jika melihat kepada impak yang ditinggalkan, secara tidak langsung mampu memberi pengaruh yang pelbagai terhadap emosi pengguna itu sendiri. Kebiasaannya apa yang merunsingkan bukanlah sesuatu impak yang baik – rata-rata di antaranya terpaksa menanggung kos kerugian.

Justeru sentiasalah berwaspada berwaspada dan mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan pihak tertentu. Sejajar dengan ini, pengguna sebaiknya perlu melengkapkan diri dengan pelbagai aspek pengetahuan. Sentiasa amalkan 3 langkah berikut khususnya dalam melaksanakan transaksi pembelian secara dalam talian.

  • Kenal pasti penyamar dalam talian bagi mengelakkan diri menjadi mangsa kes penipuan.
    • Tidak dinafikan, ada sahaja peniaga atas talian yang sering menipu pelanggan. Almaklumlah, zaman sekarang bermacam cara boleh digunakan menipu. Sehinggakan, kadang-kala kita sendiri tidak perasan perkara tersebut. Contoh situasi mudah, papar iklan sesuatu barang kemudian pengguna percaya serta mula membuat pembelian. Tetapi pada akhirnya, barang tidak diterima. Lagi mengeruhkan keadaan, peniaga langsung tidak dapat dihubungi. Jadi, dengan kebolehan untuk mengenal pasti jenis scam atau scammer, anda boleh mengelak dari menjadi mangsa.
  • Semak akaun atau aktiviti yang mencurigakan.
    • Sekiranya menemui sebarang akaun atau aktiviti perniagaan yang mencurigakan, anda digesa untuk segera melaporkannya kepada pihak berkuasa. Percaya atau tidak, anda bukan sahaja menyelamatkan diri sendiri. Sebaliknya, tindakan tersebut turut memberi situasi menang-menang dan melindungi orang sekeliling. Dalam masa yang sama, jenayah tidak bermoral ini juga dapat dikurangkan.
  • Pelbagai platform tersedia untuk laporan.
    • Kini, semuanya di hujung jari. Begitu juga dengan platform laporan maklum balas dan aduan, di mana anda boleh sahaja hubungi pihak berkuasa dan pihak polis dengan segera.  Laporkan sebarang aktiviti, individu atau akaun yang mencurigakan di Facebook, Instagram dan WhatsApp. Maka, tiada alasan untuk kita memandang enteng perkara sebegini lagi.

Seperti yang dibincangkan tadi, jenayah tidak bermoral seperti ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ia juga bukan boleh dibuat main-main. Menjadi tanggungjawab semua untuk membantu membanteras jenaya siber agar ia menjadi satu platform yang selamat untuk semua pihak. Tambahan pula, kita semakin menuju kearah era cashless atau lebih tepatnya masyarakat nirtunai. Kalau bukan sekarang, bila lagi masa yang sesuai? Sama-sama fikirkannya.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami