Cari @ Amanz

Kami di Amanz mula bekerja dari rumah sejak bulan Mei lalu. Sehingga hari ini sudah tiga bulan kami bekerja dari rumah, begitu juga dengan ahli keluarga lain yang majoritinya akan berada di rumah manakala adik-adik atau anak-anak belajar dari rumah.

Inisiatif ini bukanlah perkara mudah, contohnya tidak semua ada akses Internet, perkakasan lain yang semenggah untuk sesi telesidang dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, beberapa aksesori dan gajet perlu dibeli untuk menjadikan pengalaman bekerja atau belajar menjadi lebih baik.

Logitech telah menghantar empat produk mereka untuk kami uji, sama ada adakah ia kit asas terbaik untuk digunakan. Produk ini adalah Logitech USB Headset H390, Logitech Silent Combo MK295 (papan kekunci dan tetikus) dan juga Logitech C922 Pro Stream Webcam. Kami telah menggunakan produk-produk ini untuk sekitar dua minggu dan ini adalah ulasan kami.


Logitech C922 Pro Stream Webcam

Pertama dalam senarai adalah yang paling penting, iaitu kamera web untuk tujuan telesidang atau panggilan video bersama ahli keluarga atau juga rakan-rakan. Kamera web ini adalah Logitech C922 Pro Stream Webcam yang dilancarkan pada tahun 2016. Ya, produk ini sudah berusia lima tahun dan sehingga hari ini Logitech masih menjualnya. Orang kata, jika ia masih baik kenapa perlu diganti? Walaupun produk ini sudah berusia dan Logitech juga telah melancarkan pelbagai lagi variasi kamera web, kenapa ia masih dijual?

Selepas menggunakan kamera web ini, barulah kami sedari yang ianya masih bertahan dan mempunyai kualiti yang cukup bagus untuk digunakan dan memahami kenapa ia masih dijual. Sebelum itu, kami kongsikan serba sedikit spesifikasi kamera web ini.

Spesifikasi dan Rekaan

Logitech C922 Pro Stream Webcam
JenisKamera Web
Cagak jenis klip
Sensor3 Megapixel
Sudut pandangan lebar 78 darjah
Lensa jenis kaca
Resolusi1080p, 30 fps
720p, 60fps
AutofokusYa
MikrofonYa, jarak sehingga 1m
TripodBoleh disambungkan
Disediakan di dalam kotak
HargaSekitar RM400

Kamera web yang sudah berusia ini menggunakan sensor 3 Megapixel dengan lensa kaca serta mempunyai sudut pandangan lebar 78 darjah. Selain itu, ia turut menyokong autofokus jadi apabila pengguna bergerak fokus pada subjek akan kekal. Ia menyokong rakaman 1080p sehingga 30fps dan 720p sehingga 60fps. Ia juga mempunyai mikrofon terbina yang boleh menangkap audio sejauh satu meter. Cara pemasangan adalah mudah sekali, dengan cagak jenis klip terbina ia boleh dipasangkan pada mana-mana komputer riba, monitor atau juga televisyen (pastikan ia menyokong sambungan USB dan aksesori kamera, seperti Android TV baru-baru ini).

Saiz kamera web ini adalah kecil dan kompak. Ia mudah disimpan dan di bawa ke mana sahaja. Jika tidak gemar menggunakan cagak klip, Logitech turut menyediakan tripod kecil secara percuma dalam setiap pembelian.

Pengalaman Penggunaan

Menggunakan kamera web ini sungguh mudah sekali. Tidak perlu pun pasang perisian yang ditawarkan oleh Logitech, Windows dan Mac boleh mengesan aksesori ini tanpa sebarang masalah. Perisian tambahan seperti Logitech Capture adalah untuk kawalan tambahan pada kamera web. Pada hemat kami, perisian ini kalau boleh digalakkan pasang untuk kawalan seperti menukar resolusi, tetapan cahaya dan warna, dan lain-lain kawalan tambahan seperti untuk merakam video atau mengambil gambar dengan kaedah yang lebih baik.

Kualiti gambar dan video pada kamera web ini adalah baik sekali untuk sebuah kamera web yang sudah berusia. Video di atas adalah sesi siaran langsung Mingguan Amanz pada tetapan 1080p30fps. Anda boleh lihat yang dari segi warna dan fokus ianya cukup baik sekali. Di video ini, perisian tambahan Xsplit digunakan yang mana dengan setiap pembelian akan ada baucar langganan percuma diberikan. Perisian Xsplit ini adalah tambahan terbaik bagi mereka yang ingin melakukan penstriman siaran langsung atau juga mereka yang baru ingin memulakan saluran YouTube tersendiri.

Di atas pula adalah sampel video jika anda ingin menggunakan rakaman secara terus ataupun bagaimana rakan sekerja, ahli keluarga atau rakan anda lihat anda ketika dalam sesi telesidang atau panggilan video.

Disebabkan ini adalah produk lama, rekaannya tidak begitu efisien digunakan pada komputer riba dan paparan generasi baharu dengan bezel yang lebih nipis. Pada MacBook seperti di atas, mungkin tidak begitu menjengkelkan. Tetapi pada komputer riba seperti HP atau Huawei yang terkini dengan rekaan bezel nipis, ia memakan sedikit bahagian skrin dan akan memberikan sedikit perasaan yang tidak tenang. Alternatifnya adalah dengan menggunakan tripod yang telah disediakan.


Logitech USB Headset H390

Produk seterusnya adalah sepasang set fon kepala dengan mikrofon terbina. Logitech ada banyak produk dalam kategori ini, tetapi model ini adalah antara yang mampu milik dan paling asas yang boleh dimiliki. Tanda harga hanyalah RM119. Dengan penawaran lebih banyak TWS pada harga lebih kurang sama, adakah set fon kepala ini cukup baik digunakan ketika bekerja atau belajar dari rumah?

Sebelum itu, kami kongsikan terlebih dahulu spesifikasi produk.

Logitech USB Headset H390
JenisSet fon kepala
PemanduJenis ditala dengan laser
MikrofonDwi-arah
KuasaMenggunakan USB-A
Kabel 2.33 meter
CODECTidak dikongsi
Sistem operasi disokongWindows, macOS dan Chrome OS
Sokongan pembantu mayaTiada
Harga JualanRM119

Spesifikasi set fon kepala ini seperti yang anda lihat dalam jadual di atas adalah sangat asas. Logitech menggunakan pemacu audio yang tidak didedahkan dengan lebih spesifik selain ia ditala dengan laser. Ia juga adalah jenis pasang dan guna (plug & play) dan tidak memerlukan perisian tambahan pada mana-mana platform. Bercakap mengenai platform ia disenaraikan untuk menyokong Windows, macOS dan Chrome OS yang boleh digunakan bersama-sama dengan perkhidmatan panggilan video atau telesidang yang popular. Codec juga tidak didedahkan kerana ini adalah aksesori audio untuk penggunaan kerja dan bukannya hiburan.

Sambungan adalah berwayar dan menggunakan USB-A berserta kabel sepanjang 2.33 meter. Set fon kepada ini tiada butang pada kedua-dua cawan telinga dan kawalan adalah pada sejenis alat kawalan kecil terbina di bahagian kabel.

Rekaan juga biasa dilihat dan tiada yang unik atau menarik. Ia dibina daripada bahan binaan plastik dan mempunyai kualiti binaan yang tidak begitu berkualiti tinggi. Mikrofon yang disertakan boleh diubah arah agar sesuai dengan mulut pengguna dan ia adalah jenis dwi-arah dengan sokongan pembatalan hingar untuk bercakap.

Kualiti audio mendengar seperti rakan kerja sedang bercakap adalah baik-baik sahaja. Ia berfungsi seperti yang dipromosikan. Tetapi seperti yang difokuskan oleh Logitech, ia adalah untuk kegunaan kerja atau produktiviti dan bukannya bersantai. Kualiti mikrofon juga adalah seakan audio yang dirakam daripada panggilan telefon, ianya cukup kuat dan jelas dan hingar boleh dikatakan dapat ditapis dengan baik berbanding menggunakan mikrofon terbina pada kamera web di atas.

Apabila cuba mendengar muzik dan menonton video, ia memberikan pengalaman pendengaran yang tidak senang dan langsung tidak enak. Menggunakan set fon kepada ini sepanjang hari juga tidak begitu selesa kerana binaannya yang kecil dan tipis. Mengubah saiz set fon kepala ini juga tidak begitu efisien dan walaupun rambut saya pendek, ia masih boleh tersangkut di bahagian melaras saiz set fon kepala ini.

Dengan TWS yang sudah banyak di pasaran pada pelbagai jenis harga jualan, pada hemat kami menggunakan aksesori audio seperti Redmi AirDots, Realme Buds Air atau lain-lain yang dalam kelas sama pada harga sekitar RM100 lebih adalah lebih baik. Kerana dengannya anda boleh lakukan kesemuanya dan tidak spesifik seperti Logitech H390 ini.


Logitech Silent Combo MK295

Akhir sekali adalah set berkas papan kekunci dan tetikus nirwayar. Ia adalah Silent Combo MK295, di mana papan kekunci ini dibina untuk mempunyai kekunci yang lembut dan tidak bising apabila ditaip. Tetikus yang ditawarkan juga adalah jenis senyap apabila ditekan kiri dan kanan. Logitech menggunakan teknologi mereka tersendiri yang digelar SilentTouch.

Kedua-dua aksesori ini menggunakan sambungan nirwayar WiFi melalui dongel USB-A yang boleh mencapai jarak sambungan sehingga 10 meter. Hanya satu dongel untuk kedua-duanya sekali, yang mana amat mudah bagi mereka yang menggunakan komputer riba dengan port sambungan yang tidak banyak.

Untuk kuasa, kedua-dua aksesori ini menggunakan bateri AAA dan AA. 2x AAA untuk papan kekunci dan 1x AA untuk tetikus. Selain itu turut terdapat suis hidup/mati terbina untuk menjimatkan bateri apabila tidak digunakan.

Dengan menggunakan teknologi SilentTouch ini, antara pengorbanannya adalah pengalaman menaip yang menaip yang memuaskan. Ia terasa sangat lembut dan tidak memberikan pengalaman menaip dengan baik. Walaupun mempunyai kaki untuk mengubah ketinggian, ia masih tidak mampu memberikan satu pengalaman menaip yang memuaskan. Berbanding dengan papan kekunci pada komputer riba, papan kekunci Logitech ini terasa seakan menaip pada komputer riba murahan.

Ada banyak kekunci dan butang disertakan, kerana ini adalah papan kekunci bersaiz penuh dan untuk tujuan produktiviti – butang-butang tambahan dan kekunci penuh ini akan memudahkan pengguna. Sebagai pengguna yang sudah biasa dengan papan kekunci jenis mekanikal, papan kekunci ini bukanlah untuk diri saya secara peribadi. Malah, ia mengingatkan kembali kepada papan kekunci yang berada di sekolah atau universiti.

Tetapi dakwaan Logitech yang ianya adalah papan kekunci yang senyap dan tidak bising itu benar. Cuma dengan menggunakan teknologi ini, travel di antara setiap kekunci tidak begitu baik dan dengan setiap kekunci yang rapat ia memerlukan masa untuk membiasakan diri. Disebabkan ia dibina daripada bahan binaan plastik, ia sangat ringan sehinggakan apabila menaip dengan pantas ia mudah bergerak dan memberikan perasaan yang menjengkelkan.

Untuk tetikus ini pula, walaupun sudah menggunakan rekaan yang hampir ergonomik dengan lengkungan di sisi untuk merehatkan jari – saiz kecil ini tidak begitu efisien. Ia adalah tetikus yang pantas dan sedap untuk menekan butang kiri dan kanan. Tetapi sensor optikal di bawah tetikus ini bukanlah sensor terbaik, kerana ia perlu kerap diangkat dan mengubah posisi untuk menggunakan dengan baik.

Penggunaan sepanjang hari jika banyak menggunakan tetikus akan membuatkan diri rasa penat dan tidak ingin menggunakan tetikus ini lagi. Adakah ianya senyap seperti didakwa? Ya, ia cukup senyap dan tidak ada bunyi klik yang bising walaupun ditekan banyak kali. Cuma janganlah dihentam dengan tekanan kuat hanya untuk mendengar bunyi setiap klik. Binaan plastik pada tetikus ini cukup baik, berbanding pada papan kekunci tadi – tetikus ini mempunyai binaan yang cukup baik atau orang kata solid.

Janji lain daripada Logitech untuk kedua-dua aksesori ini adalah ketahanan bateri 36 bulan pada papan kekunci dan 18 bulan pada tetikus. Janji kedua adalah ia tidak akan ada masalah sela masa apabila menaip dan mengawal kursor. Janji kedua ini dapat kami sahkan, kerana penggunaan sepanjang hari selain daripada tidak selesa tadi adalah ia cukup lancar dan setiap input pada papan kekunci dapat dikesan dengan baik.

Untuk bateri, kami hanya gunakan aksesori ini sekitar dua minggu. Jadi sukar untuk katakan adalah ia mampu bertahan sehingga 3 tahun dan 1 tahun setengah. Tetapi berdasarkan pengalaman lalu dengan papan kekunci seperti ini, bateri pada papan kekunci mungkin bukan masalah besar, tetapi pada tetikus ada sedikit kerisauan.


Kesimpulan

Walaupun kamera web Logitech ini sudah berusia, ia masih lagi relevan digunakan pada tahun ini dan kualitinya juga cukup bagus berbanding dengan kamera hadapan pada banyak telefon pintar yang mempunyai sistem kecerdasan buatan yang melembutkan raut wajah pengguna atau kadangkala tidak dapat mencapai pada tahap kualiti yang terbaik. Dengan hanya 3MP sensor digunakan, ia mampu memberikan pengalaman penggunaan yang cukup memuaskan. Jadi tidak pelik kenapa Logitech masih menjual produk ini.

Untuk set fon kepala asas H390 ini, ia adalah benar-benar asas. Walaupun kualiti audio untuk mendengar muzik ataupun menonton video tidak begitu bagus, jika sekadar ingin menggunakannya untuk sesi panggilan video atau menjawab panggilan suara pada mana-mana perkhidmatan yang boleh digunakan pada komputer dalam tempoh yang singkat ia boleh dikatakan boleh diterima. Dengan harga RM149 ini, pada hemat kami kualiti audio pada TWS dalam lingkungan harga ini adalah lebih baik berbanding menggunakan set fon kepala ini.

Akhir sekali untuk kombo papan kekunci dan tetikus MK295, ia adalah berkas aksesori asas yang cukup mampu milik. Dengan harga hanya RM119 anda menerima dua produk dan kedua-duanya boleh digunakan pada Windows atau Mac. Cuma untuk kegunaan jangka masa panjang, papan kekunci ini tidak begitu ergonomik dan menaip padanya boleh menjadikan jari-jemari penat dan kadar menaip menjadi lebih perlahan. Tetapi untuk mereka yang sudah biasa dengan papan kekunci asas, ia mungkin untuk anda.

Tetikus ini pula lebih kepada untuk mudah di bawah ke mana sahaja. Saiz yang kecil tidak sesuai dengan pengguna dengan saiz tangan yang besar. Ia juga tidak begitu lancar dan perlu kerap angkat dan letak kembali untuk penggunaan yang lebih baik. Jika sesi penggunaan adalah sementara, ia akan membantu tetapi secara peribadi saya tidak akan menggunakannya dan lebih gemar tetikus bersaiz besar yang lebih mudah digunakan serta mempunyai rekaan yang lebih ergonomik.

Dengan harga jualan sekitar RM400 untuk kamera web, RM149 untuk set fon kepada dan RM119 untuk kombo tetikus dan papan kekunci – ia menjadikan jumlah keseluruhan RM668. Bawah RM700 anda boleh menerima empat produk asas sebagai kit bekerja atau belajar dari rumah. Membelanjakan duit sebanyak ini secara serentak agak mahal dan bukan untuk semua orang. Jadi nilaikan bajet anda dan lihat adalah ianya keperluan atau kehendak? Pada hemat kami, yang paling wajib dan menarik di antara semua produk ini adalah kamera web. Untuk papan kekunci dan tetikus, kami lebih gemar menggunakan yang terbina pada komputer riba serta gunakan pad sesentuh sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd