Beberapa bulan yang lalu, kami melaporkan bahawa Dyson telah memperkenalkan mesin pembersih hampagas nirwayar terbaru mereka, Dyson v15. Pembersih tersebut hadir dengan teknologi pengesanan habuk menggunakan laser, penuras yang memberitahu anda jenis-jenis habuk yang disedut dan lain-lain.

Dyson v15 mungkin belum hadir ke pasaran tempatan lagi, tetapi Dyson Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka sudahpun membawa masuk mesin pembersih hampagas Dyson v12 Detect Slim, iaitu variasi Dyson v15 yang lebih padat, tetapi memiliki teknologi-teknologi yang sama.
Sama seperti Dyson v15, seperti yang dikatakan sebelum ini, Dyson v12 dilengkapi kepala penyedut baru mereka yang menggunakan sistem pencahayaan laser yang boleh digunakan untuk melihat arah yang anda sedang cuba bersihkan. Apa yang menarik lagi ialah tugas utama cahaya laser ini ialah untuk menunjuk anda zarah habuk yang anda cuba untuk sedut.

Ia juga dilengkapi sensor piezoelektrik yang mengesan jenis-jenis habuk yang disedut masuk kedalam mesin penyedut ini. Dyson mengatakan bahawa dengan sensor baru ini, ia boleh mengesan habuk yang disedut sekecil 10 mikron. Rambut merupakan salah satu daripada penyebab utama aliran udara dalam sesebuah pembersih hampagas tidak dapat beroperasi pada tahap optimum.
Oleh kerana itu, juga hadir dengan ciri anti-gumpalan dimana jika pembersih ini menyedut masuk segumpal habuk atau rambut yang besar, ia akan cuba mengurangkan gumpalan tersebut supaya ia tidak menyekat aliran udara mesin ini.

Dyson Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tiga model Dyson v12 akan memasuki pasaran tempatan. Ini termasuklah model Dyson v12 Detect Slim Fluffy, Dyson v12 Detect Slim Total Clean dan juga Dyson v12 Detect Slim Absolute Extra.
Model Dyson v12 Slim Detect Fluffy boleh dibeli hari ini pada harga RM2999, manakala model Total Clean dan Absolute Extra akan ditawarkan tidak lama lagi pada harga RM3299 dan RM3899. Dua model yang belum dilancarkan tersebut akan hadir dengan pilihan berus tambahan, manakala untuk model Absolute Extra, pengguna juga akan diberi dok lantai dan bateri tambahan.