Carian
Siri Komputer Riba Gaming Mampu Milik HP Victus Kini Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM3899
August 24, 2021 Nazrin

Hewlett-Packard ataupun HP ialah sebuah jenama komputer yang cukup terkenal di dunia dan juga Malaysia. Jenama ini secara lazimnya dikenali untuk komputer-komputer produktiviti mereka, tetapi mereka juga ada model-model komputer gaming dibawah model Omen.

Terkini, HP memperkenalkan sebuah lagi siri komputer riba gaming dibawah model HP Victus, yang boleh dikatakan komputer riba gaming lebih mampu milik. HP Malaysia dilihat membawa masuk model HP Victus 16.1 yang hadir dengan sejumlah konfigurasi kelas pertengahan yang boleh didapati bergantung kepada keperluan pengguna.

Seperti yang dapat dilihat pada nama model komputer riba ini, HP Victus 16.1 dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 16.1 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Dari segi konfigurasi dalaman, ia dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 5600H ataupun AMD Ryzen 7 5800H bergantung kepada model yang dipilih. Dari segi memori dan storan, kedua-dua model ini dimuatkan dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan dalaman SSD NVMe sebesar 512GB.

Dari segi pilihan kad grafik, model AMD Ryzen 5 dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 1650, manakala model dengan CPU AMD Ryzen 7 pula mempunyai kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050. Buat masa ini, hanya model dengan CPU AMD Ryzen ditawarkan oleh HP Malaysia, walaupun pada laman web mereka, model dengan CPU Intel Tiger Lake ada disenaraikan.

HP Malaysia menawarkan tiga model HP Victus 16.1 setakat ini, dan berikut adalah tanda harga untuk model-model tersebut:

  • HP Victus 16.1 (AMD Ryzen 5, NVIDIA GeForce GTX 1650) – RM3899
  • HP Victus 16.1 (AMD Ryzen 5, NVIDIA GeForce RTX 3050) – RM4199
  • HP Victus 16.1 (AMD Ryzen 7, NVIDIA GeForce RTX 3050) – RM4799

Sumber: Lowyat.Net

Komen