Cari @ Amanz

Kerajaan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi seperti kedai gunting rambut dan kebenaran di restoran di negeri-negeri tahan pertama pada minggu lalu. Kebebasan telah diberikan kepada individu yang telah mendapat vaksin dengan dos lengkap sahaja. Sepantas ekonomi dibuka, sepantas itu juga golongan tertentu menemui lubang gegelung untuk melanggar SOP baharu ini sehingga membahayakan orang ramai.

Oleh itu aplikasi Vaccine Certificate Verifier (VCV) telah dilancarkan untuk peranti Android, iOS dan Huawei untuk membawa kod QR yang terpapar pada sijil digital dalam aplikasi MySejahtera. Pertama sekali pada versi terkini MySejahtera di iOS, paparan kod QR kini berbeza dengan sebelum ini. Corak kod QR berlainan diberikan untuk dua dos berbeza (jika anda menerima vaksin yang memerlukan dua dos). Pada aplikasi MySejahtera versi Android yang belum dikemaskini, kod QR lama masih lagi dipaparkan.

Kod baharu dengan titik yang lebih kecil ini tidak boleh dibaca oleh pembaca kod QR biasa seperti yang terbina pada banyak aplikasi kamera. Hanya VCV boleh membaca kod baharu ini. Pada waktu yang sama aplikasi VCV masih boleh membaca kod QR lama yang dipaparkan pada peranti Android.

Kini kod QR lama ini tidak lagi boleh dibaca oleh pembaca kod biasa dan akan memaparkan terdapat amaran pengesahan tidak dapat dilakukan. Bagi mengelakkan penipuan, aplikasi VCV tidak membenarkan tangkapan layar oleh pengguna.

Aplikasi ini tidak diumumkan pelancarannya dan kewujudan kod QR baharu pada MySejahtera versi iOS ini sendiri hanya kami sedari selepas membaca laporan dari laman LowYat.net. Pada laman aplikasi ia turut dikatakan menyokong kod QR sijil vaksinasi digital yang diberikan oleh Singapura dan Kesatuan Eropah. Dengan aplikasi kini sudah boleh dimuat turun, besar kemungkinan aplikasi VCV akan diwajibkan digunakan oleh pemilik premis untuk mengesahkan bukti penerimaan vaksin penuh dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd