Pada tahun lepas, TikTok dan Shopify telah bekerjasama untuk memudahkan akaun TikTok For Business untuk menggabungkan pengikut akaun tersebut dengan laman Shopify yang membolehkan pengguna untuk membeli barang-barang yang diingini dengan mudah.
Terkini, kerjasama tersebut dilihat mengambil satu langkah yang cukup besar, dimana TikTok memperkenalkan ciri TikTok Shopping, yang mana akaun-akaun TikTok For Business akan hadir dengan kedai atas talian terbina secara terus didalam aplikasi tersebut.

Seperti yang dikatakan, fungsi ini dibina dengan kerjasama Shopify, yang mana akaun TikTok dan Shopify yang telahpun terhubung antara satu sama lain akan hadir dengan satu menu pembelian ringkas dalam TikTok yang memperlihatkan sejumlah produk yang ditawarkan di Shopify.
Pengguna boleh mengakses kedai atas-talian dalam aplikasi ini melalui sebuah tab TikTok Shopping yang akan diperkenalkan dalam profil akaun TikTok For Business tersebut.
TikTok turut memperkenalkan fungsi memasang pautan Shopify apabila mana-mana produk ditunjukkan dalam sebuah video TikTok supaya penonton yang melihatnya boleh terus ke laman Shopify mana-mana jenama untuk membeli produk tersebut dengan cepat dan mudah.

Kerjasama ini boleh dikatakan sesuatu yang menguntungkan Shopify kerana ia dilaporkan bahawa pengguna TikTok dilihat banyak mengakses Shopify melalui aplikasi tersebut, dan banyak pembelian yang dilakukan apabila pengguna melihat produk yang menarik di aplikasi tersebut.
ByteDance mengatakan bahawa fungsi TikTok Shopping ini akan diperkenalkan dalam masa beberapa minggu lagi untuk pasaran Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom terlebih dahulu. Buat masa ini ia tidak diketahui jika fungsi TikTok Shopping ini akan diperkenalkan di pasaran-pasaran lain.
Sumber: TechCrunch