Cari @ Amanz

Fitbit Charge 5 telah dilancarkan secara rasmi dan ia adalah penjejak kesihatan yang dilengkapi sensor ECG dan EDA yang setanding dengan yang digunakan pada jam tangan pintar. Charge 5 juga akhirnya dilengkapi skrin skrin AMOLED berwarna buat pertama kali dengan sokongan sentuhan.

Tubuh mempunyai bahagian sisi logam yang turut merangkap sebagai sensor ECG dan EDA (Eletrodermal Activity) yang digunakan untuk menyukat tahap stres tubuh pemakai. Ini sekaligus menjadikannya penjejak kesihatan pertama dengan kedua-dua ciri ini. Selain itu terdapat juga sokongan penjejak nadi, tapak, kadar pernafasan, suhu kulit, kitaran haid dan juga GPS. Bateri yang disertakan pula mampu menawarkan tempoh operasi sehingga 7 hari dengan sekali caj. Sebagai penjejak kesihatan untuk pengguna aktif, Charge 5 juga kalis air sehingga kedalaman 50 meter.

Menerusi perisian Fitbit, Charge 5 dapat menjejak pola tidur, tenaga dan tempoh pemulihan tubuh. Markah diberikan berdasarkan ketiga-tiga faktor ini untuk memaparkan Daily Readiness Score. Dengan skor ini pengguna Fitbit akan disarankan dengan aktiviti yang lebih sesuai dengan tahap ketersediaan tubuh. Jika pengguna dikesan sedang stres, aktiviti santai seperti yoga dan meditasi akan disarankan.

Dengan langganan Fitbit Premium pula, pengguna boleh mengakses video aktiviti yang boleh dilakukan mengikut sasaran peribadi yang ditetapkan. Ini amat berguna dengan gimnasium masih belum dibuka membuatkan akses kepada jurulatih peribadi adalah terhad.

Fitbit Charge 5 akan ditawarkan pada harga RM878 seutas bermula 4 Oktober 2021 dalam pilihan warna Black, Lunar White dan Steel Blue. Selain tali jam silikon, Fitbit turut menawarkan pilihan tali jam tambahan yang diperbuat daripada kulit dan juga nilon. Dengan setiap pembelian Charge 5, langganan percuma Fitbit Premium selama enam bulan turut diberikan. Selepas tempoh tersebut ia boleh dilanggan pada harga RM39 sebulan

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd