Apa sebab anda mengikuti seseorang di Twitter. Mungkin kerana ciapan yang kelakar, kandungan eksklusif dan mencari pautan Internet yang menarik. Mereka boleh menjadi sumber untuk anda mendapatkan kandungan menarik yang mungkin anda terlepas pandang. Kini Twitter telah menambah ciri baharu yang membolehkan anda melihat ruang Spaces manakah yang sedang didengari oleh akaun yang diikuti.

Apabila akaun ini memasuki ruang Spaces, nama mereka akan terpapar pada palang di atas susur masa. Dengan ini anda boleh mendengar juga kandungan menarik yang sedang berlangsung. Pada waktu ini ciri masih dalam ujian dan diberikan kepada sebilangan akaun pada aplikasi Android dan iOS. Sekiranya anda tidak mahu aktiviti Spaces dipaparkan, terdapat pilihan untuk tidak mengaktifkannya pada skrin tetapan.