Huawei Nova 8 telah pun dilancarkan di Malaysia baru-baru ini. Ia adalah pengganti kepada Nova 7 yang dilancarkan hujung tahun lepas. Nova 8 yang dilancarkan di sini mempunyai spesifikasi yang sama dengan variasi di Rusia, iaitu sebuah peranti kelas pertengahan. Berbeza dengan variasi yang dilancarkan di China yang dikategorikan sebagai peranti yang lebih premium.
Sudah bertahun peranti Huawei tidak mempunyai sokongan GMS, jika pada peranti mercu tahun lepas ia sedikit kurang memuaskan dari segi pengalaman penggunaan. Bagaimana pula dengan peranti kelas pertengahan? HMS sudah semakin hebat dan percaya atau tidak, Nova 8 ini mampu memberikan satu pengalaman penggunaan yang baik.
Spesifikasi Dan Rekaan
Huawei Nova 8 | |
---|---|
Skrin | 6.57″ OLED, FHD+, 90Hz |
Pemproses | Kirin 820E (7nm) |
Cip | 3 x 2.22 GHz Cortex-A76 3 x 1.84 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G57 |
RAM | 8GB |
Muatan Dalaman | 128 UFS |
Kamera Utama | 64MP (utama) f/1.9 8MP (ultra sudut lebar) f/2.4, sudut pandangan 119° 2MP (kedalaman) f/2.4 2MP (makro) f/2.4 AI camera, Super Wide Angle Night shot, Portrait mode Super Macro |
Kamera Swafoto | 32MP, f/2.0 |
Bateri | 3,800mAh Huawei SuperCharge 66W |
SIM/Telefoni/NFC | Dwi SIM nano / 5G / Ya |
Pembesar Suara | Mono |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM1,899 |
Huawei Nova 8 ini hadir dengan skrin 6.57-inci OLED dengan resolusi FHD+ serta sokongan kadar segar semula tinggi. Ia dijana dengan cip Kirin 820E, iaitu berasaskan cip tahun lepas Kirin 820 dan digandingkan dengan memori 8GB RAM serta storan dalaman 128GB. Kamera pada peranti ini menggunakan konfigurasi kuad-kamera daripada sensor 64+8+2+2 Megapixel jenis sudut lebar, sudut ultra lebar, untuk kedalaman dan juga makro. Manakala pada kamera swafoto ia menggunakan sensor 32MP.

Bateri peranti hanyalah 3,800mAh yang mana agak kecil untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Tetapi Huawei menyertakan sokongan pengecasan pantas 66W melalui teknologi Huawei SuperCharge. Pembesar suara sayang sekali hanyalah jenis mono dan untuk sekuriti ia menggunakan pengimbas cap jari pada bawah skrin.

Rekaan peranti cukup unik sekali dengan nafas baharu untuk peranti dalam kelas ini oleh Huawei. Ia mempunyai sedikit elemen Honor 50 dan P50, di mana sensor utama di atas dan ditemani dengan tiga sensor lain bersama-sama dengan lampu LED flash dalam bentuk matriks. Skrin adalah jenis berlubang di tengah dan juga melengkung dan mempunyai elemen rekaan seakan peranti Huawei P. Butang hanya terdapat pada satu sisi untuk ketiga-tiganya sekali, di bawah pula adalah kekisi pembesar suara, lubang mikrofon dan juga port USB-C. Di atas hanya ada lubang mikrofon dan slot kad SIM.
Penggunaan Dan Perisian
Skrin pada peranti di atas kertas sebenarnya cukup hebat sekali. Ia cukup terang, cerah dan mempunyai warna yang hidup. Tetapi disebabkan perisian yang terhad, ia tidak mampu memaparkan kandungan HDR pada mana-mana platform penstriman. Cukup mengecewakan di situ. Rekaan yang sedikit melengkung ini juga tidak begitu dalam dan masih boleh digunakan tanpa ada perasaan yang menjengkelkan.

Sokongan kadar segar semula 90Hz yang disertakan adalah jenis adaptif, yang mana dalam cubaan saya ia tidak begitu konsisten dan banyak kali saya rasakan ia hanyalah 60Hz. Apabila menggunakan tetapan 90Hz sahaja sentiasa, ia tidak memberikan pengalaman yang cukup lancar berbanding peranti lain dalam kelas ini.

Dengan cip Kirin 820E yang direka berasaskan binaan 7nm, ia mempunyai banyak kekurangan berbanding cip Dimensity atau Snapdragon dalam kategori sama. Contoh, ia menggunakan susunan 3+3 berbanding pesaing yang banyak menggunakan tetapan 1+2+3 untuk penggunaan kuasa yang lebih efisien. Disebabkan itu, prestasi bermain permua adalah tidak begitu menarik.
Dalam cubaan bermain Asphalt 9, menu permua adalah sangat perlahan dan tersangkut-sangkut. Tetapi di dalam sesi permainan pada tetapan paling tinggi, ia boleh dimainkan dengan baik. Malah cubaan membuat pembayaran daripada dalam aplikasi juga cukup bagus. Permua lain seperti PUBG Mobile, COD Mobile mempunyai masalah kerana tiada GMS dan jika melakukan pemasangan manual pun, ia tidak akan memberikan poengalaman bermain yang baik.

Nova 8 menjalankan sistem operasi baharu Huawei, EMUI 12 dan bukannya Harmony OS 2.0 atau 2.1. Tetapi dari segi rekaan jika dibandingkan dengan MatePad 11 yang dilancarkan baru-baru ini, ia mempunyai banyak persamaan. Pertama, ia masih berasaskan Android 10. Kedua talam notifikasi, pusat kawalan, tetapan dan lain-lain adalah sama sahaja. Pengguna Huawei sedia ada akan gembira dengan perubahan ini, kerana ia sangat selesa digunakan serta mudah. Tetapan tidak begitu memeningkan dan lebih tersusun serta dengan rekaan ikon dan penggunaan warna yang baik – ia memberikan satu perasaan yang menenangkan.

Walaupun prestasi permua tidak begitu lancar, prestasi keseluruhan peranti ini adalah baik sekali. Masalah lengah masa hanya berlaku kadangkala sahaja dan ia adalah standard untuk sebuah peranti sebegini. Walaupun tiada GMS, peranti ini boleh digunakan seperti biasa tanpa sebarang masalah – jika anda boleh mempercayai kepada Petal Search aplikasi kegemaran yang kadangkala memaparkan keputusan daripada sumber yang mencurigakan.

Terdapat dua perkara yang paling saya gemar pada peranti ini. Pertama penggunaan Petal Maps yang semakin baik dan ada sedikit pengalaman seakan menggunakan peta daripada Apple. Walaupun nama lokasi kadangkala tidak begitu tepat dan ada juga yang ejaan tidak betul, arahan selok-belok dengan suara seakan robot ini masih mampu menunjukkan jalan yang betul.
Kedua adalah Celia yang mana menyokong bahasa melayu. Ia boleh mendengar arahan saya dengan baik dan pantas dan melakukan arahan tersebut dengan tepat sekali. Dengan Celia yang semakin maju ini, tidak terkejut jika Huawei kelak sudah bersedia untuk membawa masuk lebih banyak peranti berhubung mereka. Suara Celia masih perlu dibaiki, kerana ia mengingatkan saya kepada suara Siri pada suatu masa dahulu – iaitu robot yang cuba mimik manusia.

Memandangkan ini adalah peranti Huawei, fungsi seperti Smart Collaboration turut disokong untuk sambungan dan tambatan pantas di antara semua produk mereka. Saya sedang menggunakan Huawei FreeBuds 4i dan MatePad 11 dan percaya atau tidak, saya cukup teruja dengan cara ia mengesan semua peranti dan aksesori serta betapa pantasnya ia bersambung. Oh ya, artikel ini juga ditulis pada komputer riba Huawei dan fungsi drag dan drop fail juga disokong dengan baik sekali.
Prestasi Dan Skor Penanda Aras
Macam saya katakan tadi, Nova 8 adalah peranti kelas pertengahan. Jadi ujian skor penanda aras akan memaparkan keputusan yang rendah. Walaupun rendah, anda perlu ingat – skor ini hanyalah nombor semata-mata dan penggunaan di masa nyata adalah lebih penting dan tepat.
Apa-apa pun, di AnTuTu ia mencatitikan skor 315981 dan 544/1778 pada Geekbench 5 untuk satu teras dan multi-teras. Jika Huawei menambah ciri RAM maya seperti pesaing, ia mungkin akan sedikit membantu.

Walaupun peranti ini ada Game Space, iaitu mod permua tersendiri mereka. Menggunakannya atau tidak boleh dikatakan tiada beza yang banyak. Dari segi memanas selepas main masih ada, menjadi sedikit lengah masa selepas main juga masih kelihatan. Zaman GMS mereka dengan Turbo GPU adalah antara yang terbaik, kerana saya masih ingat ciri tersebut benar-benar memberikan pengalaman penggunaan yang lain.

Telefoni Dan GPS
Panggilan telefon pada peranti ini juga baik sekali. Kualiti mikrofonnya adalah seakan peranti mercu Huawei. Cuma rekaan yang nipis ini serta kedudukan kekisi ganggang telefon memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri, jika tidak apabila peranti berada di telinga akan rasa sedikit aneh. Penggunaan data mudah alih cukup baik dan kad SIM yang saya gunakan sentiasa menerima rangkaian 4G yang stabil serta pada telko Maxis ia menyokong VoLTE.

GPS juga cukup lancar. Cuma disebabkan Waze yang kini sudah menggunakan log masuk Google dan Google Maps yang tidak boleh digunakan – aplikasi Petal Maps tidak begitu menarik. Ada perubahan berbanding sebelum ini, tetapi masih tidak cukup matang jika pengguna bergantung kepada GPS selalu.
Kamera
Kamera peranti seperti yang dinyatakan di awal artikel adalah 64+8+2+2 Megapixel daripada sensor sudut lebar untuk yang utama, sudut ultra lebar yang kedua dan dua lagi adalah untuk sensor kedalaman dan juga untuk makro. Aplikasi kamera Huawei tidak ada banyak perubahan dan masih lagi standard. Jadi agak bosan untuk lihat perkara yang sama sahaja. Pada hemat saya, untuk peranti yang tiada GMS – ia adalah satu peranti yang sukar untuk dijual dan kamera adalah perkara penting salam sesebuah peranti – sekurang-kurangnya berilah sedikit perubahan yang boleh menarik perhatian orang selain daripada rekaan sahaja.

Hasil swafoto peranti ini yang menggunakan sensor 32MP adalah seakan menggunakan sensor yang lebih rendah. Kualiti tidak begitu konsisten dan mod potret juga tidak begitu kemas. Sejak kebelakangan ini saya sedari, kebanyakan peranti daripada China mempunyai masalah pasca-proses kecerdasan buatan yang menjadikan hasil tidak begitun konsisten. Untuk kekal hasil yang baik, AI perlu dimatikan – tetapi jika dimatikan profil warna menjadi berbeza seperti yang boleh anda lihat di bawah perenggan ini.

Kamera utama pada awal penggunaan saya rasa cukup memuaskan. Tetapi hari demi hari menggunakannya dan membezakan antara satu sampel dengan yang lain, saya dapati warna yang dihasilkan adalah berbeza. Adakah AI pada kamera ini masih cuba belajar? Itu saya tidak pasti. Walaupun sudah ada kecerdasan buatan, Huawei Nova 8 mempunyai satu masalah yang ada pada kebanyakan peranti Android beberapa tahun lalu, menukar antara lensa atau mod zum akan memberikan hasil berbeza.

Di beberapa situasi, kadangkala hasil yang dipaparkan cukup hebat dan mengejutkan. Tetapi itu hanyalah kadangkala sahaja dan secara majoritinya dari segi kecerahan, keseimbangan warna putih, dan cara ia mengesan cahaya agar tidak begitu terdedah adalah seakan peranti Xiaomi atau Realme yang dijual pada harga sekitar bawah RM1500.

Untuk sudut ultra lebar pula, jika pemandangan itu adalah langit anda tidak akan nampak kesan herotan. Tetapi apabila ada bangunan, kereta, lampu jalan atau objek lain – kesan ini jelas kelihatahn dan menjadikan hasil gambar tidak berkualiti tinggi. Jika pangkas gambar dan fokuskan pada subjek untuk mempunyai sudut pandangan yang lebih baik, ia akan menawarkan hasil yang lebih menarik.


Mod malam pula adalah antara perkara yang Huawei patut perbaiki pada peranti kelas pertengahan. Jika peranti lain boleh lakukannya, apakah alasan Huawei? Walaupun kesan hingar tidak begitu kelihatan, tetapi pasca-proses melembutkan hasil gambar dan menjadikan hasil tidak begitu baik dengan warna yang sedikit jingga atau kadangkala terlampau kebiruan. Apa yang bagus adalah, mod malam peranti ini bukan sekadar menaikkan tahap kecerahan sahaja.

Rakaman video peranti Nova 8 masih lagi sama sejak dulu lagi. Mana-mana peranti Huawei dalam kategori yang sama akan mempunyai kualiti yang tidak begitu baik. Profil warnanya menarik, tetapi jika anda lihat dengan teliti ia ada kesan tersangkut-sangkut sedikit. Paling menarik adalah, rakaman video kamera swafoto peranti ini dan mikrofonnya adalah berkualiti tinggi. Jadi untuk penggunaan ketika bekerja dari rumah dan sesi telesidang, peranti ini mampu men gendalikan dengan lancar dan hebat.
Audio
Sebuah peranti kelas pertengahan seperti ini sepatutnya sudah ada pembesar suara stereo. Dukacitanya, ia hanya menawarkan pembesar suara mono. Ya, kualitinya baik – tetapi jika tidak seimbang ia agak aneh. Sepanjang penggunaan saya, saya banyak menggunakan TWS sahaja. Satu perkara baik menggunakan peranti tanpa GMS adalah, aplikasi penstriman muzik yang tidak memerlukan lesen seperti DRM. Tidal, Apple Music, dan lain-lain boleh digunakan pada peranti dengan baik sekali.

Satu kekurangan yang tiada pada peranti ini selain daripada audio stereo adalah sisten Hi Histen terkini daripada Huawei yang ada pada MatePad 11. Harmony OS 2.0 pada tablet mereka mempunyai sokongan untuk mimik audio spatial atau surround tidak kira apa jua aksesori audio yang digunakan. Jika ciri itu ada pada peranti ini, pasti akan mengekutkan anda semua.
Bateri

Bateri peranti 3800mAh adalah satu saiz yang kecil. Malah menggunakan peranti ini hanya boleh menerima 7 jam SOT, itu pun jika menggunakan dalam keadaan yang ringan sekali. Kebiasaannya, saya hanya akan menerima SOT sekitar 5 jam lebih sahaja dan sipi-sipi untuk mencapai 6 jam. Penggunaan ekstrem seperti menstrim video, mendengar muzik, aktif di media sosial dan bermain permua akan memberikan SOT sekitar 4-5 jam sahaja dan kadangkala hanya 3 jam SOT. Bateri peranti ini menurun seakan air melimpah dengan laju.

Saya percaya yang dengan kemaskini perisian, Huawei boleh membaiki masalah ini. Tetapi EMUI tidak begitu terkenal dengan pengedaran kemaskini yang pantas di pasaran global. Harapnya ada perubahan pada EMUI 12 ini. Dengan sokongan Huawei SuperCharge 66W, saya boleh terima masalah bateri lemah ini kerana kurang 40 minit peranti boleh dicas sehingga penuh. Malah hanya 10 minit sudah boleh mencapai sekitar 70%. Lebih-lebih lagi apabila bekerja dari rumah dan pengecas berdekatan.
Pesaing
Huawei Nova 8 | Realme GT Master | Samsung Galaxy A72 |
---|---|---|
6.57″ OLED, FHD+, 90Hz | 6.43″ Super AMOLED, FHD+ 120Hz | 6.7” Super AMOLED, FHD+, 90Hz, |
Kirin 820E (7nm) 3 x 2.22 GHz Cortex-A76 3 x 1.84 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 | Snapdragon 720G (8nm) 2 x 2.3GHz 6 x 1.8GHz |
Mali-G57 | Adreno 642L | Adreno 618 |
8GB RAM | 8GB RAM | 8GB RAM |
256GB UFS 3.1 | 128/256 GB | 256GB |
Kamera Utama 64+8+2+2 Megapixel, (f/1.9+f/2.4+f/2.4+f/2.4) | Kamera Utama 64+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4) | Kamera Utama 64+12+8+5 Megapixel, (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4) |
Kamera Hadapan 32-Megapixel, (f/2.0) | Kamera Hadapan 32 Megapixel, (f/2.5) | Kamera Hadapan 32 Megapixel, (f/2.0) |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | IP67 |
Tiada Bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm |
Tiada Pemancar infra merah | Tiada pemancar infra merah | Tiada Pemancar infra merah |
3800 mAh (Berwayar 66W) | 4300 mAh (Berwayar 33W) | 5000 mAh (Berwayar 33W) |
RM1,899 | Bermula sekitar RM1600 | RM1,899 |
Kesimpulan
Huawei Nova 8 secara kesimpulannya menawarkan satu pengalaman penggunaan EMUI terbaik ataupun hampir ke arah Harmony OS. Ia juga akan memberikan anda pengalaman penggunaan tanpa GMS yang lebih menarik berbanding sebelumnya, malah saya lebih gemar menggunakan EMUI 12 pada peranti berbanding P40 Pro+ saya yang masih menjalankan EMUI 11.
Dengan rekaan yang cantik, premium serta mempunyai skrin yang boleh diterima – peranti ini adalah sebuah peranti untuk mereka yang cuba berjinak dengan HMS. Prestasi permua bukan satu fokus utama, tetapi jika anda sekadar ingin melengkapkan ekosistem Huawei – ini peranti yang cukup baik.

Walaupun kamera peranti ada masalah tidak konsisten. Kita patut cuba beri peluang kepada Huawei, kerana apabila saya cuba – pengalaman penggunaan saya adalah lebih berharmoni. Cuma ada satu sahaja masalah besar, peranti ini dijual pada harga RM1,899 iaitu lebih mahal daripada Poco F3 dan kebanyakan peranti lain. Jika wang ringgit bukan satu isu untuk anda dan anda ingin cuba sebuah peranti HMS ini untuk anda.
Pro
- EMUI 12 yang lebih menarik dan mendekati Harmony OS.
- Rekaan yang cantik dan binaan yang premium.
- Kuasa pengecasan pantas yang gila pantas.
- Ekosistem Huawei yang semakin hebat.
Kontra
- Masih lagi Android 10
- Skrin yang tidak menyokong banyak kandungan.
- Kualiti kamera yang tidak konsisten.
- Harga jualan yang agak mahal.
