Carian
Plus Xnergy Menawarkan Perkhidmatan Sistem Penjanaan Tenaga Solar Sewa-Untuk-Milik Untuk Rumah Pada Harga RM388 Sebulan
August 26, 2021 Nazrin

Penggunaan teknologi sistem solar untuk menguasakan penggunaan elektrik di rumah bukanlah sesuatu konsep yang baru. Terdapat banyak syarikat pengelola sistem solar di luar sana yang boleh anda jumpa, tetapi masalah utama penggunaan teknologi ini ialah kos pemasangan dan pemilikan yang hanya boleh ditampung oleh mereka yang mempunyai wang yang banyak.

Plus Xnergy, sebuah syarikat pengelola sistem tenaga solar tempatan hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mula menawarkan perkhidmatan sistem tenaga solar yang lebih mudah untuk didapati, menggunakan langganan sewa-untuk-milik pada harga permulaan RM388 sebulan untuk lima tahun.

Plus Xnergy, ataupun dikenali sebagai Plus Solar sebelum ini pada mulanya menawarkan perkhidmatan penjanaan tenaga solar ini untuk syarikat-syarikat yang mahukan penjimatan penggunaan tenaga elektrik yang lebih baik, dan menawarkan perkhidmatan mereka secara B2B sahaja.

Dengan pengumuman hari ini, Plus Xnergy melebarkan sayap perkhidmatan mereka untuk sektor pengguna juga, dan penawaran mereka untuk sektor ini boleh dikatakan cukup menarik sekali. Dengan harga permulaan RM388 sebulan, pengguna boleh menyewa sistem penjana elektrik solar dengan kapasiti 4kW sehingga 12kW bergantung kepada keperluan mereka.

Pengguna hanya perlu ke laman web Plus Xnergy, isi borang atas-talian, dan seorang wakil daripada syarikat tersebut akan menghubungi anda, dan juga datang ke rumah untuk melihat apakah pelan yang terbaik untuk penggunaan anda.

Lebih menarik lagi, Plus Xnergy mengatakan bahawa tiada pembayaran pendahuluan yang diperlukan untuk melanggani sistem penjanaan ini, dan semua kos pemasangan dan penyelenggaraan telahpun difaktorkan dalam pembayaran yang diperlukan.

Selepas tempoh sewa lima tahun, penyewa akan memiliki sistem penjanaan tenaga solar ini dan ia membolehkan pengguna untuk memperlihatkan penjimatan tenaga elektrik sehingga 90 peratus berbanding dengan penggunaan tenaga elektrik tradisional.

Plus Xnergy turut mengatakan bahawa sistem penjanaan tenaga solar ini mempunyai waranti selama 25 tahun jika apa-apa terjadi kepada panel solar ataupun sistem elektrik yang dibangunkan oleh mereka. Mereka menganggarkan bahawa sistem ini boleh bertahan selama 30-40 tahun sekiranya dijaga dengan baik.

Jika anda berminat untuk tahu lebih lanjut mengenai sistem penjanaan tenaga solar Plus Xnergy ini, anda boleh ke laman web mereka.

Sumber: Plus Xnergy

Komen