Cari @ Amanz

Pelajar Sekolah Belasan Tahun Mulakan Khidmat Edagang Jual Makanan – Kini Menjadi Duta Microsoft

Oleh Aman

Link Copied!

Disebabkan oleh pandemik, ramai yang tidak boleh bergerak keluar, selain perlu menghabiskan masa yang lama dihadapan kaca monitor komputer dalam menyelesaikan tugasan dan juga pembelajaran harian.

Menariknya, untuk dua pelajar – Rakhael dan Jishnu, mereka turut membangunkan sebuah platform mereka tersendiri ketika PKP, dinamakan sebagai Cookeasy.

Rakhael dan Jishnu kini masing-masing belajar di tingkatan 1 dan tingkatan 2, telah memulakannya ketika berusia seawal 12 tahun. Disebabkan minat terhadap makanan, selain ia merupakan salah satu medium yang menyatukan ramai di Malaysia, kedua-duanya memilih untuk membangunkan sebuah platform untuk menjual barangan makanan – yang dihasilkan di rumah.

Cookeasy pada mula perancangan menghadapi cabaran dari segi pembangunan dan penyertaan sistem pembayaran. Namun, selepas kedua-duanya mengkaji pelbagai platform, mereka memilih Shopify untuk menjana Cookeasy – sekaligus menyelesaikan salah satu masalah utama dalam pembangunan platform edagang, iaitu pilihan platform pembayaran.

Cookeasy kini beroperasi meliputi kawasan Lembah Klang dan juga Pulau Pinang. Rakhael dan Jishnu memilih untuk mengedarkan makanan dengan bantuan ahli keluarga seperti pakcik dan makcik, bagi memastikan kesegaran sesuatu makanan, dan agar ia sampai dengan selamat. Namun, perkara ini turut membawa kepada beberapa kekangan seperti kawasan yang diliputi untuk penghantaran.

Berkongsi mengenai kejayaan, Cookeasy berjaya mencatatkan sehingga 500 pembeli ketika Hari Raya lepas. Kedua-duanya yang turut gemar bermain permainan seperti Fortnite, mula membahagikan masa dengan baik dalam terus memperkembangkan perniagaan mereka sedikit demi sedikit.

Menurut Rakhael, dalam memudahkan lagi urusan pengurusan perniagaan Cookeasy, mereka memastikan pelbagai kelancaran stok menggunakan perisian Microsoft Excel. Kemampuan atas-taliannya memudahkan mereka memasukkan input, dan ia akan sync secara automatik.

Malah, kedua-duanya turut menggunakan Microsoft Teams untuk berkomunikasi – disebabkan oleh era pandemik yang membuatkan tiada pertemuaan bersemuka atau mesyuarat diadakan.

Menyedari kelebihan kedua-dua pelajar ini juga, pihak Microsoft turut memilih mereka sebagai duta untuk Surface – yang mana kini menjadi salah satu peranti yang digunakan.

Walaupun kedua-dua anak muda ini telah mempunyai perniagaan pada usia muda, namun ia tidak menghentikan cita-cita mereka. Rakhael berhasrat untuk menjadi seorang juruterbang atau ahli perniagaan, sementara Jishnu pula ingin menceburi bidang sains data. Pada masa yang sama, mereka juga turut terus memperluaskan kepakaran mereka dalam bidang pengaturcaraan.

Kedua-dua anak muda ini turut mengalakkan yang lain dalam mencuba membangunkan sesuatu ketika masa terluang, dan berhasrat agar orang sekeliling seperti keluarga dan rakan-rakan menyokong usaha masing-masing, sekaligus membentuk lebih ramai yang kreatif.

Layari : Cookeasy

Komen ()