Cari @ Amanz

Anda Mungkin Ada Duit Yang Tidak Dituntut – Dapatkan Semula Menerusi eGUMIS

Link Copied!

Jika anda kerap melakukan transaksi seperti akaun simpanan, pembelian insurans, pembelian barangan, pembelian kereta, atau apa sahaja pun, anda berkemungkinan mempunyai wang yang mungkin milik anda, namun tidak dituntut. Atau mungkin juga kerana wang anda berada dalam akaun yang tidak aktif selama lebih tujuh tahun, dan pihak bank perlu memulangkan kepada anda, namun anda tidak melalui proses penutupan akaun.

Tutorial kali ini akan membantu anda dalam menuntut balik semula wang anda yang mungkin anda juga tidak sedar akan kewujudan wang tersebut. eGUMIS merupakan salah satu inisiatif dari Jabatan Akauntan Negara bagi memudahkan urusan ini. Anda perlu mendaftar akaun anda terlebih dahulu secara atas talian, sebelum boleh melakukan carian.

[ info] Daftar: Akaun eGUMIS [/info]

Anda juga boleh menuntut wang bagi pihak keluarga anda, baik yang masih hidup atau yang meninggal dunia dan juga untuk syarikat anda. Namun untuk setiap hari, hanya 2 carian dapat dilakukan oleh setiap pengguna jadi anda disarankan untuk tidak tersilap langkah dalam mengisi borang ini. 

1. Lakukan Carian 

Anda boleh melakukan carian dengan menggunakan nombor kad pengenalan anda, ataupun nombor kad pengenalan ahli keluarga anda. Selepas melakukan carian, akan terdapat senarai wang yang tidak dituntut, termasuklah butiran seperti nilai, dari mana, dan juga tahun kewangan.

Setelah berpuas hati dengan carian tersebut, anda perlu menekan butang ‘tick’ disebelah senarai tersebut. Kegagalan menekan butang ini akan menghabiskan satu kuota carian anda, dan perlu diingatkan untuk setiap hari, hanya dua carian yang boleh dilakukan pada setiap akaun.

Setelah menekan ‘tick’ pada nilai yang anda ingin tuntut, tekan seterusnya untuk ke halaman Borang Permohonan.

2. Borang Permohonan

Di ruangan ini, anda perlu meletakkan butiran Perihal Empunya dan juga Perihal Penerima. Anda juga boleh menambah senarai wang tak dituntut di ruangan Perihal Empunya, walaupun dari sumber dan pembayar yang berlainan. 

Di ruangan Perihal Penerima, anda perlu menambah butiran diri anda. Anda juga boleh menekan butang tick sekiranya maklumat tersebut sama dengan Perihal Empunya. Sekiranya anda menuntut Wang Tak Dituntut bagi pihak berlainan, seperti keluarga anda atau syarikat anda, anda perlu mengisi borang tersebut. Anda juga perlu memastikan nombor akaun untuk anda menerima bayaran tersebut.

3. Muatnaik Dokumen

Di ruangan seterusnya, pemohon perlu memuatnaik dokumen bersangkut-paut dengan permohonan tersebut. Sekiranya ia hanya permohonan wang tidak dituntut, maka anda perlu memuatnaik salinan kad pengenalan dan juga salinan muka hadapan penyata akaun bank anda yang mempunyai maklumat nombor akaun dan masih aktif digunakan.

Perkara ini merupakan satu prosedur biasa diperlukan bagi membolehkan pihak kerajaan melakukan pengesahan dan memastikan wang berjaya dituntut semula. Sekiranya anda memohon untuk keluarga anda, dokumen salinan surat beranak diperlukan dan bergantung kepada situasi manakala jika untuk syarikat, borang pendaftaran perniagaan diperlukan. 

Selesai muat naik dokumen tersebut, anda akan dibawa ke ruangan Perakuan/Pengesahan.

4. Pengakuan/Pengesahan

Di ruangan ini, anda perlu menyemak semula kesemua maklumat yang telah diisi dan juga dokumen yang telah dimuatnaik. Sejurus selepas pengesahan dan perakuan dipersetujui, anda akan menerima maklumbalas yang permohonan anda sedang diproses dan akan menerima salinan email untuknya. Sekiranya tiada sebarang masalah, anda akan menerima wang tersebut dalam beberapa minggu dan dalam pengalaman saya sendiri, wang diperoleh selepas tiga minggu. 

Diharap dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberikan info untuk anda, disamping untuk menuntut balik hak dan pemilikan anda. Didalam norma baru dan juga keterbatasan untuk hadir ke pejabat kerajaan untuk melakukan perkara ini, sistem atas talian eGUMIS yang dilancarkan sejak tahun 2017 ini sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan.


Komen ()