Netflix Menguji Penawaran Permainan Melalui Aplikasi Android – Terhad Di Poland

Diterbitkan pada Ogos 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Netflix sedia mengatakan bakal menceburi arena permainan video, sekaligus melengkapkan lagi penawaran platform inforia mereka. Selari dengannya, kini Netflix telah mulakan ujian penawaran permainan video mudah-alih melalui aplikasi Android, terhad di Poland.

Dua permainan ditawarkan buat masa ini, iaitu Stranger Things : 1984, dan juga Stranger Things 3. Untuk makluman, kedua-dua permainan ini sedia ditawarkan sebagai aplikasi berasingan sejak beberapa tahun lepas, dan kini Netflix menawarkannya secara terbina melalui aplikasi Netflix utama.

Dengan langkah awal ini, ia memberikan gambaran bagaimanakah pihak Netflix akan menawarkan dan mengedarkan permainan melalui aplikasi utama mereka.

Sebelum ini, pada bulan lepas Netflix telah mengesahkan perancangan memperluaskan penawaran meliputi permainan video. Netflix ingin menawarkannya tanpa sebarang kos tambahan kepada langganan sedia ada, sekaligus membolehkan pengguna lebih terikat dan mempunyai lebih sebab untuk melanggan Netflix.

Langkah ini juga dijangka akan mempelbagaikan lagi penggunaan IP yang dimiliki oleh Netflix, selain membolehkan mereka menghimpukan data berkenaan minat dan sebagainya dalam terus memperluaskan penawaran kandungan pada platform mereka.

Dengan permulaan ujian ini, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut untuk Netflix Gaming ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami