Komponen storan SSD boleh dikatakan salah satu komponen paling penting dalam sebuah komputer, khususnya kerana berbanding dengan cakera keras, ia adalah komponen yang membolehkan pengguna untuk mengakses sistem operasi, perisian dan fail pada kadar yang jauh lebih laju.
Samsung dan Western Digital merupakan dua syarikat yang cukup terkenal untuk komponen-komponen storan mereka, dan beberapa laporan sepanjang minggu ini mengatakan bahawa kedua-dua syarikat ini telah melakukan kesalahan dengan menukar komponen NAND didalam produk storan mereka dengan komponen yang lebih perlahan berbanding apa yang ditawarkan oleh mereka pada mulanya.
Ia bermula dengan Western Digital, yang mana menurut laman web Expreview yang mengulas tentang storan SSD WD Blue SN520 terbaru, dan memperlihatkan satu perubahan yang ketara melalui ujian penanda aras mereka. Secara ringkasnya, walaupun storan WD Blue baru ini mempunyai kadar pembacaan dan penulisan data yang lebih pantas daripada model sebelum ini dengan ujian asas, apabila cache SLC (single layer cell) yang membolehkan storan SSD ini dipenuhi, kadar pembacaan dan penulisan data storan tersebut dilihat jauh lebih teruk berbanding dengan model sebelum ini.
Selepas laporan mengenai SSD Western Digital ini tersebar, sebuah lagi laman web menunjukkan bahawa storan SSD Samsung Evo 970, khususnya model dengan storan 1TB yang lebih baru dilihat hadir dengan masalah yang sama. Sama seperti storan Western Digital, ujian penanda-aras awal menunjukkan kadar pembacaan dan penghantaran data yang pantas, tetapi selepas cache SLC sama dipenuhkan, perbezaan kelajuan diantara kedua-dua SSD yang diuji bagaikan langit dan bumi.
Pertukaran komponen pada sebuah SSD bukanlah sesuatu yang baru. Jenama-jenama storan sebelum ini pernah melakukannya juga, tetapi ada jenama yang mengeluarkan kenyataan mengenai perubahan komponen, dan ada diantara mereka yang tidak.
Sayangnya, untuk storan SSD Western Digital dan Samsung, tiada pengumuman dibuat mengenai perkara ini, dan hanya apabila storan-storan ini diuji sekali lagi dengan model yang baru ia diperlihatkan bahawa syarikat-syarikat ini telah secara ringkasnya membuat perubahan yang menjadikan komponen-komponen ini berfungsi dengan lebih teruk tanpa sebarang penjelasan mengenainya.