Cari @ Amanz

Apple akhirnya mengalah dalam isu membenarkan pembangun menghubungi pelanggan bagi menawarkan cara pembayaran alternatif yang tidak melalui sistem pembelian dalam aplikasi (IAP) App Store. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pagi ini, Apple bersetuju menyelesaikan saman kelompok pembangun dari Amerika Syarikat di luar mahkamah dengan menubuhkan dana berjumlah $100 juta (~RM419 juta).

Pembangun aplikasi dengan pendapatan bawah $1 juta layak menerima bayaran dari Apple kerana mengenakan potongan keuntungan 30% sebelum ini yang telah dikurangkan ke 15%. Bayaran $100 juta ini dinamakan sebagai Dana Bantuan Pembangun Kecil (Small Developer Assistance Fund). Pembangun yang layak perlu mempunyai aplikasi di Apple Store di antara 4 Jun 4 2015 hingga 26 April 26 2021. Kelayakan boleh disemak menerusi laman khas yang akan dilancarkan kelak.

App Store

Apple akan turut menawarkan sekitar 500 pilihan harga aplikasi dan IAP kepada pembangun berbanding sekitar 100 sahaja pada waktu ini bagi membolehkan mereka menjana pendapatan. Lebih menarik ialah Apple akan membenarkan pembangun menghubungi sendiri pelanggan untuk menawarkan pembayaran alternatif di luar App Store.

Selain itu Apple bersetuju mengekalkan program peniaga kecil App Store yang hanya mengambil potongan 15% dari bayaran aplikasi dari pembangun yang menjana pendapatan kurang $1 juta setahun di App Store. Mereka juga akan lebih telus dalam melaporkan jumlah aplikasi yang tidak diluluskan, akaun pembangun yang dibatalkan dan jumlah aplikasi yang dibuang setiap tahun. Proses rayuan juga akan diperjelaskan lagi buat pembangun.

Pengumuman ini hadir hanya beberapa hari selepas Korea Selatan ingin meluluskan RUU yang membolehkan pembangun memintas Google Play Store dan Apple App Store untuk pembayaran aplikasi di negara tersebut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd