Kanser payu dara dan paru-paru adalah antara jenis kanser yang paling kerap dikesan di Malaysia. Malang sekali kerana penduduk di Malaysia tidak melakukan saringan kesihatan dengan kerap, kanser hanya dikesan di peringkat 3 dan 4. Ini berlaku sendiri kepada ibu saya tahun lalu. Antara masalah dengan proses saringan ialah kos yang tinggi serta kekurangan kelengkapan di kawasan luar bandar.
Picomole sebuah firma kesihatan dari Kanada mengumumkan mereka telah membangunkan alat yang mengesan kanser paru-paru dengan hanya menganalisa hembusan nafas. Peranti ini mengumpul nafas individu ke dalam balang logam sebelum diproses dalam mesin spektrometer yang mengesan komponen kimia dalam udara yang dihembus paru-paru.
Berdasarkan data spektrometer, kecerdasan buatan kemudiannya mengesan kewujudan biomarker kanser paru-paru seawal tahap pertama dan tumor hanya sebesar 1 cm. Pada waktu ini Picomole ialah satu-satunya syarikat yang membangunkan sistem pengesanan dan saringan kanser paru-paru dengan hanya menggunakan nafas.
Menurut Picomole algoritma mereka setakat ini mempunyai ketepatan sekitar 85%. Dengan ujian yang sedang dilakukan mereka ingin meningkatkannya lagi ke sekitar 86%. Minggu ini peranti mereka telah disenaraikan di laman FDA di Amerika Syarikat yang dilihat sebagai langkah seterusnya sebelum peranti dikomersialkan pada seawal penghujung 2023 atau awal 2024. Selain kanser paru-paru, Picomole berkata teknologi yang sama boleh digunakan untuk pengesanan kanser payudara.
Idea pengesanan kanser dari nafas bukan perkara baharu kajian sejak 2006 menunjukkan anjing boleh mengesan kanser kulit, payudara dan pundi kencing. Semasa pandemik anjing juga dibuktikan boleh mengesan pesakit Covid-19. Hidung tiruan kini telah dibangunkan untuk melalukan tugas yang sama.
Peranti boleh menawarkan ujian yang lebih pantas dan murah berbanding ujian dos rendah imbasan CT dan imbasan sinar-X. Imbasan sinar X meningkatkan risiko kepada pesakit kerana mendedahkan mereka kepada radiasi. Ditambah lagi dengan saiznya yang kecil berbanding mesin CT, ia mudah alih untuk dibawa ke rumah orang tua untuk saringan tanpa mereka ke hospital.